Tajuk : Mangsa kebakaran suami isteri dibantu

KOTA TINGGI 12 Nov.- Kesedihan sepasang suami isteri yang tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya musnah dalam kebakaran Jumaat lalu, terubat hari ini apabila mereka mendapat perhatian pelbagai pihak.

Hari ini, Baitulmal daerah menghulurkan bantuan awal RM500 kepada Muhammad Ruhaifi Alias, 30, dan isterinya, Nur Wahidah Abdullah, 41, bagi meringankan beban mereka.

Wang tunai tersebut disampaikan oleh Pegawai Tadbir Agama daerah, Mohd. Taufik Datuk Kiyai Shamsuddin bagi bantuan permulaan untuk mangsa mendapatkan tempat tinggal baru.

Mohd. Taufik berkata, pihaknya juga akan membiayai bayaran sewa rumah yang baru dan akan mendapatkan bantuan membeli barangan keperluan perniagaan yang telah hangus dijilat api akibat kejadian itu.

"Saya berharap pasangan ini banyak bersabar dan bersyukur menerima ujian dan dugaan Allah dengan tabah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Mohd. Said Abd. Rahman.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi Jumaat lalu, rumah sewa pasangan itu di Jalan Abd. Aziz di sini yang didiami pasangan ini lebih setahun lalu musnah dijilat api.

Ekoran itu, pasangan itu tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa tinggal buat sementara di rumah jirannya iaitu pasangan warga Myanmar.

Menurut Muhammad Ruhaifi, ketika kejadian dia dan isterinya keluar ke pasar awam Kota Tinggi untuk membeli barang keperluan perniagaan.

Beliau yang berniaga barang makanan secara kecil-kecilan menggunakan van, hanya mengetahui kejadian itu apabila dimaklumkan oleh rakannya melalui telefon.

"Saya bergegas pulang ke rumah tetapi tidak boleh berbuat apa-apa kerana api sudah marak membakar keseluruhan rumah," katanya.

Nur Wahidah yang merupakan mualaf berasal dari Sarawak, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih di atas keprihatinan Baitulmal Kota Tinggi, wakil rakyat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang tampil menghulurkan bantuan.

''Mujur segala dokumen penting dan pengenalan diri, kami bawa ke mana sahaja saya pergi dan anak lelaki berusia sebelas tahun tinggal bersama ibu mertua saya di Pontian,'' katanya.

Katanya, pihak bomba masih menyiasat punca dan kerugian akibat kebakaran itu.

Sumber Berita : Utusan Malaysia