Tajuk : Semua pihak wajar banteras kemiskinan

BATU PAHAT: Usaha untuk membantu membanteras kemiskinan tidak harus diserahkan kepada kerajaan semata-mata, tetapi semua pihak perlu tampil menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka yang memerlukan.

Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, berkata dengan bantuan pelbagai pihak yang menyokong usaha murni dijayakan di setiap kawasan Parlimen, lebih banyak bantuan dapat disalurkan terutamanya untuk membina rumah keluarga miskin.

Beliau yakin ketika ini ramai yang berkemampuan dan tidak mustahil mereka mampu menghulurkan sedikit bantuan untuk menjayakan tanggungjawab sosial terhadap ahli masyarakat yang memerlukan.

"Kerjasama antara kita sama ada dalam bentuk bantuan wang atau tenaga mampu meringankan beban mereka yang memerlukan.

"Kita berusaha sedaya upaya membanteras kemiskinan kalangan rakyat tetapi ia pasti sukar dilaksanakan tanpa kerjasama pelbagai pihak," katanya pada program gotong-royong membina rumah keluarga miskin di Kampung Parit Maimon, Parit Sulong, di sini.

Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong menyumbangkan RM5,000 bagi membina rumah itu, manakala RM20,000 lagi disumbangkan beberapa individu prihatin.

Kerja meroboh rumah usang yang didiami lapan sekeluarga serta membina semula rumah berkenaan dilakukan secara gotong-royong penduduk kampung berkenaan.

Turut menghulurkan sumbangan, Majlis Agama Islam Johor (Maij) yang menyediakan kelengkapan dan perabot rumah bernilai RM5,000.

Sementara itu, penerima bantuan membina rumah baru itu, Ismail Marjan, 53, berkata beliau gembira dengan keprihatinan pelbagai pihak yang menghulurkan sumbangan kepada beliau.

Beliau tinggal di rumah usang itu bersama isteri dan enam anaknya yang berusia antara enam tahun hingga 20 tahun, termasuk anak ketiganya yang kurang upaya.

"Saya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan hanya kira-kira RM600 sebulan. Dengan pendapatan sebanyak itu saya memang tidak mampu menyediakan kediaman selesa untuk keluarga saya.

"Saya bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan semua pihak ini, tanpa bantuan mereka tentunya kami sekeluarga terus tinggal di rumah usang," katanya.

Sumber Berita : Berita Harian