JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Johor (Maij) merancang mendirikan Kompleks Darul Ukhwah sebagai pusat pertemuan dan urusan saudara baru bagi memudahkan golongan itu mendapatkan bantuan serta maklumat berhubung agama Islam.
Pengarah Jabatan Agama Johor (JAJ), Datuk Zalil Baron, berkata pembinaan kompleks itu memberi kemudahan kepada saudara baru mendapatkan khidmat bantuan dan urusan berhubung Maij selain menjadi pusat sehenti golongan berkenaan berkongsi pandangan dan bertukar pendapat.
Katanya, Maij giat membantu golongan berkenaan demi mencapai kesefahaman lebih erat selain mengelak meminggirkan kepentingan saudara baru dalam institusi kemasyarakatan.
Saudara baru berhak menerima bantuan sama seperti orang lain kerana konteks Islam menyatakan konsep kesamarataan, selain perpaduan dan jalinan persaudaraan perlu dijaga bagi memupuk nilai permuafakatan.
"Sehubungan itu, rancangan mendirikan kompleks ini akan menjadi satu sokongan dan bimbingan berterusan dari kerajaan negeri selain badan bukan kerajaan (NGO) turut memainkan peranan penting dalam usaha mereka mendalami Islam," katanya.
Sementara itu, Zalil berkata, Maij sudah mengagihkan sumbangan berjumlah RM899,000 diserah kepada pegawai tadbir daerah masing-masing bagi diagihkan kepada saudara baru yang layak menerimanya.
Selain itu Maij memberi sumbangan RM42,000 kepada badan kebajikan bukan kerajaan (NGO) saudara baru seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia cawangan Johor dan Persatuan Jamaah Malabar Muslim Johor.
Persatuan Cina Muslim Malaysia cawangan Johor dan Persatuan Jamaah Malabar Muslim Johor itu turut menerima sumbangan Yayasan Pembangunan Iktisad Islam Malaysia (YPIIM) sebanyak RM100,000 Sumber Berita : Berita Harian |