Penerima hargai sumbangan ceria sambut Aidilfitri
JOHOR BAHRU: Golongan kurang berkemampuan tidak pernah diabaikan untuk menerima pelbagai bantuan bagi meringankan beban sempena Aidilfitri.
Majlis Agama Islam Johor (Maij) turut memberi bantuan, antaranya rawatan haemodialisis, berdikari dan pembiayaan pengajian bidang perubatan.
Penerima Bantuan Berdikari, Gayah Zainab, 47, berkata sumbangan mesin jahit bernilai RM5,000 dapat meningkatkan taraf hidup beliau sekeluarga dengan mengambil upah menjahit jumlah yang agak banyak.
"Bantuan ini membolehkan saya berdikari serta memajukan perniagaan jahitan yang semakin mendapat sambutan pelanggan," katanya.
Erni Hariyanto, 52, mewakili anaknya, Mohd Aman Al-Muiz Noordin yang kini menuntut di Mesir menerima pembiayaan pengajian RM40,000 setahun
"Saya kini menanggung lapan anak masih bersekolah sejak kematian suami dan ia agak berat pada saya dan tidak mampu menanggung perbelanjaan. Pendapatan bulanan saya agak kecil.
"Bagaimanapun, anak saya, Dzuhaireen Chong Abdullah, 28, dengan rela hati membantu meringankan beban menanggung perbelanjaan adik beradiknya yang lain. Saya bersyukur dengan bantuan Maiji dan berharap Aman tekun belajar serta menjadi individu berguna untuk membela nasib keluarga," katanya.
Sementara itu, pesakit buah pinggang, Mohammad Deris, 53, berkata sumbangan yang diberikan meringankan beban kewangan yang ditanggung isterinya yang bekerja sebagai Pembantu Am Rendah dengan pendapatan sebanyak RM500 sebulan.
"Saya terpaksa menjalani rawatan 12 kali sebulan di Pusat Dialisis dan Kesihatan Masjid Bandar Baru Uda (BBU) dengan kos RM2,030 sebulan. Ia sesuatu yang amat berat dengan tanggungan empat orang anak yang masih belajar," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman menyampaikan bantuan kepada penerima.
Sumber Berita : Berita Harian |