Tajuk : MAIJ bantu murid alami masalah mata

KOTA TINGGI 17 Ogos - Seorang murid Sekolah Agama Desa Mahkota (SADM), Rantau Panjang, Kulai di sini, yang mengalami masalah penglihatan menerima sumbangan wang tunai RM1,000 daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) Daerah Kota Tinggi, kelmarin.

Sumbangan itu bagi tujuan meringankan beban dan membiayai kos perjalanan yang ditanggung keluarga Siti Nurul Fateha Shamsudin, 7, yang terpaksa berulang-alik untuk mendapatkan rawatan mata di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut bapanya, Shamsudin Mohd. Amin, 39, masalah penglihatan yang dihadapi anak keempat daripada enam beradik itu mula disedari ketika dia berusia enam tahun iaitu semasa mula memasuki pendidikan prasekolah.

Katanya, pada peringkat awal dia hanya membawa Siti Nurul Fateha membuat pemeriksaan mata di klinik kesihatan di sini, namun ia tidak dapat dikesan dan diberitahu anaknya itu hanya mengalami sakit mata biasa.

"Bagaimanapun sebaik dia memasuki tahun satu, kami dapati keadaan penglihatan Siti Nurul Fateha bertambah teruk. Dia hanya boleh membaca pada jarak yang terlalu dekat iaitu kira-kira 10.16 sentimeter dan tidak nampak huruf yang ditulis di papan hitam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan MAIJ di (SADM) yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Datuk Dr. Adham Baba di sini.

Sehubungan itu, Julai lalu Shamsudin membawa Siti Nurul Fateha ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan dan dimaklumkan keadaan mata anaknya itu sudah berada pada tahap kritikal.

"Saya telah dinasihatkan supaya membawa Siti Nurul Fateha ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut dan matanya akan dibedah dalam masa terdekat ini," katanya.

Sumbangan boleh menghubungi Guru Besar SADM, Ropinah Yahya di 013-7702810 atau dia sendiri di 017-7941837.

Shamsudin turut merayu bantuan orang ramai untuk membiayai kos pembedahan Siti Nurul Fateha kerana dia yang hanya bekerja kampung tidak termampu.

Pada majlis itu, MAIJ turut memberikan sumbangan basikal, beg sekolah dan hamper makanan kepada 28 murid SADM.

Sumber Berita : Utusan Malaysia