JOHOR BAHRU 26 Ogos - Bayaran zakat fitrah yang dikenakan ke atas umat Islam di negeri ini pada tahun ini dinaikkan kepada RM6.50 berbanding RM5 tahun lalu.
Pengarah Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Zalil Baron berkata, kadar baru yang ditetapkan itu adalah mengikut harga pasaran beras semasa seperti yang ditetapkan dalam hukum syarak.
"Kenaikan sebanyak RM1.50 ini bukan direka-reka kerana umum mengetahui bahawa harga beras di pasaran semasa telah mengalami kenaikan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu, Zalil menasihati orang ramai supaya membayar zakat fitrah awal dan membayarnya kepada amil yang dilantik oleh MAIJ.
Menurutnya, kira-kira 2,200 orang amil atau pemungut zakat telah dilantik pada bulan Ramadan yang akan menjelang beberapa hari lagi.
Selain itu, menurut Zalil, kaunter-kaunter pungutan zakat turut akan dibuka di pusat beli-belah, masjid dan kaunter bergerak di setiap daerah.
Dalam pada itu, pihaknya juga akan mengagihkan kutipan zakat kepada lebih 16,000 keluarga fakir miskin di seluruh negeri bermula minggu pertama Ramadan.
"Paling lewat penyerahan zakat itu akan dilakukan pada minggu kedua bulan Ramadan dan majlis penyerahan akan dibuat di setiap daerah secara serentak," katanya.
Sumber Berita : Utusan Malaysia |