Tajuk : MB Johor adakan khatam al-Quran

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman akan mengadakan beberapa siri majlis khatam al-Quran di kediamannya di Saujana, di sini bagi menyemarakkan Ramadan yang disambut umat Islam bermula esok.

Pengerusi Majlis Agama Islam Johor (Maij), Zainal Abidin Osman, berkata pada tahun ini, Menteri Besar akan mengadakan lapan kali majlis khatam al-Quran merangkumi majlis bersama wartawan, Puteri, Pemuda, Wanita dan Badan Perhubungan Umno pada 8, 9, 11, 13, 14, 20 dan 21 September ini.

Beliau berkata, Menteri Besar juga mengadakan majlis pemberian bungkusan dan sumbangan Aidilfitri kepada anggota keselamatan, orang kurang upaya, ibu tunggal, miskin, pengagihan dividen Aidilfitri Felcra Bhd Wilayah Johor dan Majlis Gemilang Zakat 2008.

Selain itu, katanya, orang ramai diseru menyertai program membudayakan Al-Quran iaitu majlis khatam al-Quran yang diadakan mengikut setiap peringkat antaranya peringkat negeri, daerah, jabatan kerajaan, swasta, pusat pengajian dan kilang.

"Tahun ini, Maij mengadakan majlis kemuncak program berkenaan bagi peringkat negeri di Masjid Jamek Bandar Pontian pada 16 September ini bersamaan 16 Ramadan.

"Bagi program peringkat daerah pula, majlis akan diadakan pada 26 September bersamaan malam 27 Ramadan bertempat di semua masjid dan surau qariah seluruh negeri manakala bagi peringkat jabatan dicadangkan diadakan pada 23 September bertempat di setiap kawasan yang mengadakan program membudayakan al-Quran," katanya.

Selain itu, Pengurusan Masjid Jabatan Agama Johor (JAJ) sudah menyusun dan menyediakan pelbagai program kepada masyarakat Islam di negeri ini bagi menyambut Ramadan antaranya program berbuka puasa dan sahur di masjid .

Zainal Abidin berkata, bersempena bulan yang mulia itu, pihaknya turut mengadakan Qiamullail atau bangun malam khususnya di 10 malam terakhir Ramadan untuk mendapatkan kelebihan malam Lailatul Qadar.

"Sebanyak lapan masjid dipilih untuk menjalankan solat tarawih dengan membaca al-Quran 30 Juzuk dan melantik dua imam hafiz bagi mengetuai tarawih serta menamatkan pembacaan sepanjang Ramadan,” katanya.

Sumber Berita : Berita Harian