JOHOR BAHRU Orang ramai disaran tidak menunggu di saat-saat akhir menjelang sambutan Aidilfitri untuk membayar zakat fitrah bagi mengelakkan kesesakan sehingga terpaksa beratur panjang di kaunter pungutan zakat.Seorang amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Abdul Rahman Abdul Wahab, 52, berkata, dia pernah menghadapi situasi berkenaan apabila orang ramai berpusu-pusu membayar zakat fitrah sebelum bermulanya solat Hari Raya Aidilfitri bagi menunaikan tuntutan itu.
"Bukan tidak boleh bayar pada pagi Hari Raya, tetapi janganlah sampai mengganggu amil untuk solat sunat Aidilfitri.
"Untuk mengelakkan perkara itu, apa salahnya bayar awal," katanya yang ditemui di Masjid Jamek Bandar Baru Uda di sini.
Menurut Abdul Rahman, setakat ini ramai umat Islam yang menjalankan kewajipan membayar fitrah pada awal Ramadan.
Katanya, kebiasaannya orang ramai memilih membuat bayaran selepas waktu Asar pada bulan puasa ini.
Dalam pada itu, menurut peniaga, Azmi Sulaiman, 49, dia telah membiasakan dirinya untuk membayar zakat fitrah pada awal Ramadan untuk mengelak terpaksa beratur panjang.
"Biasanya, di masjid sekitar Johor Bahru, kita terpaksa beratur panjang untuk membayar zakat fitrah sehari sebelum atau pada malam menjelang Aidilfitri.
"Jadi, lebih baik saya bayar awal dan tidak perlu bersusah-payah beratur panjang nanti," katanya yang ditemui selepas membayar zakat fitrah di masjid berkenaan.
Sumber Berita : Utusan Malaysia |