JOHOR BAHRU: Setiap kali Aidilfitri tiba, golongan kurang kemampuan tidak pernah diabaikan malah mereka diberi pelbagai bantuan bagi meringankan beban untuk menyambut hari kebesaran itu selepas tamat mengerjakan ibadat puasa.
Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij) turut turun ke padang bagi membantu 12 keluarga Islam masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Pasir Salam, Ulu Tiram, di sini, semalam.
Pengerusi Puspanita Cawangan Johor, Datin Safiah Aris, berkata sumbangan itu bagi membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung keluarga terbabit bagi mempersiapkan diri menyambut ketibaan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.
Katanya, sumbangan bingkisan itu diberikan dalam bentuk wang raya bagi setiap keluarga dan baju terpakai yang dikumpulkan oleh ahli Puspanita manakala Maij pula menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas, antaranya minyak masak, tepung, beras, garam dan gula.
"Rombongan ziarah ini kali pertama dilakukan Puspanita ke perkampungan Orang Asli dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Johor. Ia satu pengalaman yang menakjubkan kerana kami terpaksa menempuh jalan yang berliku dan jauh ke pedalaman untuk sampai ke perkampungan yang indah ini.
"Kami tidak pernah mengabaikan golongan susah yang berada di luar kawasan bandar. Saya berharap sumbangan ini dapat menjadi penyeri kepada penerima dalam menjalani ibadat puasa dan membuat persediaan ketibaan Syawal kelak," katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Puspanita, Datin Narimah Md Ewan; Penolong Pengarah Bahagian Dakwah (Unit Dakwah) Jabatan Agama Johor, Maimunah Othman dan Ketua Unit JHEOA negeri Johor, Shahrol Rozaat Abd Rasih.
Safiah berkata, rombongan ziarah itu juga bertujuan untuk membuka peluang kepada dirinya dan ahli Puspanita melihat sendiri kehidupan Orang Asli yang jauh berbeza daripada masyarakat bandar.
Penerima, Abu Bakar Abdullah, 49, berkata sumbangan itu membuktikan masyarakat Orang Asli tidak pernah diabaikan dalam menyambut Ramadan dan membuat persediaan menjelang ketibaan Syawal.
Beliau yang bekerja sebagai nelayan berkata, pendapatan daripada hasil laut tidak menentu sekali gus menyebabkannya agak tertekan untuk membuat persiapan menyambut ketibaan Syawal.
Sumber Berita : Berita Harian |