JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Johor (Maij) berjaya mencapai sasaran mengutip zakat RM74 juta tahun lalu hasil komitmen dan kerjasama Rakan Kutipan Maij membabitkan ejen kutipan zakat bagi memungut dan menerima zakat di negeri Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman, berkata Rakan Kutipan Maij membabitkan gabungan institusi kewangan yang terpilih, Pos Malaysia, syarikat swasta, institut pengajian tinggi awam (Ipta) dan orang perseorangan.
Katanya, bagi institusi kewangan, Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatatkan kutipan tertinggi iaitu RM72,525.64, Bank Muamalat (RM59,387.91), Bank Simpanan Nasional (RM48,344.41), Bank Islam (RM42,815.23), Agro Bank (RM28,864.83), Bank Rakyat (RM22,225.36) dan RHB Bank (RM8,561.95).
Beliau berkata, Pos Malaysia mengutip RM729,940 manakala bagi Ipta, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatatkan kutipan tertinggi iaitu RM1.6 juta diikuti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) (RM274,710) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) (RM74,926).
“Peningkatan kutipan di institusi kewangan, Ipta dan syarikat swasta menyumbangkan kira-kira RM6.01 juta kutipan oleh amil korporat.
"Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua rakan kutipan yang membantu Maij dalam meningkatkan hasil kutipan zakat untuk diagihkan kepada asnaf atau penerima,” katanya pada Majlis Jalinan Muhibah Bersama Rakan Kutipan Maij, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Eksekutif Maij, Datuk Zalil Baron dan Timbalan Mufti Johor, Datuk M Tahrir Samsudin serta Ahli Majlis Maij.
Zainal Abidin berkata, pihaknya berjaya mengagihkan RM64.7 juta daripada RM74 juta zakat yang dikutip tahun lalu kepada asnaf terbabit.
Katanya, fakir menerima RM5.2 juta, miskin (RM14.5 juta), amil (RM10.5 juta), mualaf (RM4.6 juta), asnaf gharim (RM502,000), ibnu sabil (RM47,000) dan asnaf Fi Sabilillah (RM29.5 juta).
Beliau berkata, semua kutipan diagihkan mengikut skim yang ditetapkan antaranya skim bantuan hari raya, sara hidup bulanan, perubatan, perumahan, bantuan berdikari, pelajaran, bantuan segera dan bencana alam.
Sumber Berita : Berita Harian |