JOHOR BAHRU 25 Sept. - Umat Islam diingatkan agar tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan.
Timbalan Pengarah Pengurusan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Abdul Karim Abu Bakar berkata, ini kerana golongan berkenaan juga ingin menikmati suasana raya seperti orang lain.
"Raya disambut oleh semua golongan tanpa kira miskin atau kaya. Oleh itu, pihak yang berlebihan rezeki, tampillah membantu mereka yang memerlukannya," katanya pada majlis penyampaian bungkusan hari raya kepada para pesakit di Hospital Sultan Ismail di sini hari ini.
Abdul Karim yang diiringi oleh Pengarah Hospital Sultan Ismail (HSI), Dr. Rooshaimi Merican A. Rahim Merican, turut melawat pesakit-pesakit di wad onkologi dan kanak-kanak.
Dalam kunjungan itu, pesakit-pesakit berkenaan turut diberikan duit raya dan biskut raya serta beberapa barangan lain sempena Aidilfitri.
Katanya, acara tahunan yang diadakan sejak tiga tahun lalu dengan HSI itu bertujuan untuk menceriakan pesakit-pesakit yang tidak dapat pulang berhari raya.
"Selain menggembirakan mereka yang terpaksa beraya di hospital, acara sebegini juga untuk mengeratkan hubungan sesama insan," katanya.
Sumber Berita : Utusan Malaysia |