Tajuk : MAIJ laksana Program Insaniah

MERSING 3 Jun - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) akan melaksanakan Program Insaniah untuk membantu golongan yang memerlukan tidak lama lagi.

Penolong Pengarah Unit Agihan Zakat MAIJ, Azlan Abdullah berkata, sempena program itu, pihaknya akan mencari rumah yang uzur dan membaikinya.

"Kerja-kerja membaiki rumah tersebut akan dijalankan secara bergotong-royong bersama Jawatankuasa Pembangunan Mukim-mukim (JPMM)," katanya kepada Utusan Malaysia semasa mengadakan Program Jengah Rakyat di Kampung Air Merah, di sini baru-baru ini.

Azlan berkata, pihaknya tidak akan membiarkan nasib rakyat terbiar tanpa pembelaan, sebaliknya akan terus menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Menurutnya, penerima bantuan MAIJ di daerah Mersing sehingga April lalu ialah seramai 211 orang melibatkan peruntukan sebanyak RM40,000 sebulan dan bantuan dialisis kepada 31 orang.

Beliau berkata, MAIJ berjaya mengutip RM100.7 juta dan daripada jumlah itu RM78.6 juta diagihkan untuk asnaf yang layak.

Bantuan untuk perubatan sahaja, jelas beliau, mencecah RM8 juta.

Setakat ini, seramai 834 pesakit buah pinggang mendapat bantuan dialisis.

Sumber Berita : Utusan Malaysia