Tajuk : MAIJ hulur pelbagai bentuk bantuan

KUTIPAN zakat harta dan fitrah di negeri ini pada tahun lalu adalah sebanyakRM100,737,539.76, manakala jumlah kutipan pada tahun ini sehingga Oktober adalah sebanyak RM82,910,676.61.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, berkata daripada jumlah berkenaan pada tahun lalu itu, sebanyak RM89,181,248.26 adalah hasil kutipan zakat harta dan RM11,556,291.50 daripada kutipan zakat fitrah.

Katanya, melalui hasil pungutan zakat yang dibuat Majlis Agama Islam Johor (Maij) itu, ia secara jelas menunjukkan pihak MAIJ memberi perhatian khusus dalam membantu golongan yang memerlukan melalui pelbagai bentuk bantuan kebajikan.

"Bentuk bantuan yang dihulurkan bukan saja melalui pungutan zakat semata-mata, malah program meningkatkan taraf hidup masyarakat dan pemeliharaan syiar Islam turut menjadi fokus utama.

"Justeru, melalui usaha yang dilaksanakan kami percaya masyarakat melihat kesan daripada bantuan yang disalurkan itu berjaya menyelesaikan masalah membabitkan golongan yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan secara bertulis Datuk Abdullah Ali (BN-Bukit Naning) mengenai jumlah kutipan zakat serta kaedah dan cara pengagihannya di sini, semalam.

Pengagihan wang zakat adalah mengikut ketetapan Al-Quran iaitu diagihkan kepada golongan asnaf yang lapan termasuk fakir, miskin, amil, muallaf, gharim, hamba, fi sabilillah dan ibnu sabil di mana di bawah setiap asnaf terdapat aktiviti dilaksanakan mengikut keperluan semasa asnaf.

Zainal Abidin berkata, bagi memenuhi keperluan masyarakat, MAIJ turut menyediakan pelbagai skim bantuan seperti bantuan sara hidup bulanan, rawatan dan perubatan, perumahan, pendidikan, berdikari, hari raya, menyelesaikan hutang dan bencana alam.

"Skim bantuan yang disediakan antara lain adalah sebagai usaha MAIJ yang memang sedar dengan peranan dan tanggungjawab diberikan sekali gus menangani masalah kebajikan umat Islam dan kemiskinan di negeri ini," katanya.

Sumber Berita : Berita Harian