Tajuk : Rumah ibu tunggal siap diperbaiki

KOTA TINGGI 15 Dis. - Seorang ibu tunggal, Jama'iah Abd. Rahman, 40, mampu menarik nafas lega apabila rumah yang diduduki bersama lima anaknya di Kampung Sungai Semilang, di sini yang musnah akibat dipukul ribut kira-kira dua bulan lalu sudah siap diperbaiki.

Rumah baru tersebut yang diusahakan secara bersama Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) DUN Johor Lama dibantu para pelatih Giat Mara Kota Tinggi

Jama'iah melahirkan rasa syukur kerana Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Giat Mara sudi memberi peruntukan bagi membaik pulih rumahnya yang musnah.

"Selepas kejadian ribut dua bulan lalu, saya berasa buntu kerana tidak pasti di mana hendak mendapatkan wang untuk membaiki rumah itu.

"Namun, selepas perkara ini dibawa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Md. Ariff dan dipanjangkan kepada MAIJ dan Giat Mara, ia diluluskan dengan segera," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan rumah tersebut anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kota Tinggi.

Hadir sama Pegawai Tadbir Agama Daerah Kota Tinggi, Mohd Taufik Kiyai Samsuddin, Pegawai Mara Daerah Kota Tinggi, Adina Aucasa dan Pengurus Giat Mara Kota Tinggi, Zulkifli Md Nazri.

Difahamkan, bilik dan dapur baru berharga RM19,000 sumbangan peruntukan daripada Baitulmal RM11,000 dan Giat Mara RM8,000 itu dibina semula oleh pelatih Giat Mara dalam tempoh satu minggu.

Dalam pada itu, Asiah berharap, bantuan yang disalurkan itu dapat meringankan beban ibu tunggal terbabit dan keluarganya.

"Meskipun menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masayarakat (JKM), mereka sekeluarga tetap memerlukan rumah yang sempurna untuk diduduki dan ia sudah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu keluarga ini," katanya.

Pada majlis yang sama, Asiah turut menyampaikan wang bantuan sara hidup JKM kepada 30 penerima yang terdiri daripada golongan warga emas, miskin, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Sumber Berita : Utusan Malaysia