Tajuk : MAIJ gerakkan Insaniah

BATU PAHAT 6 Feb. - Mengagihkan kutipan zakat kepada golongan asnaf iaitu golongan miskin adalah menjadi tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan ia dilaksanakan dengan berkesan melalui pelbagai saluran termasuk program Insaniah yang disertai dengan program gotong- royong, baru-baru ini.

Penolong Pengarah MAIJ, Azlan Abdullah berkata, program itu memberi tumpuan kepada usaha pihaknya mendekatkan diri dengan masyarakat di samping menyelami masalah mereka juga memberi bantuan yang perlu.

Katanya, setakat ini tiga program diadakan iaitu pertamanya; membina rumah seorang ibu tunggal yang daif di Parit 1 Sagil, Muar dan kedua; membaik pulih sebuah surau di Kampung Sungai Balang, Muar.

"Program ketiga ialah gotong-royong di sebuah rumah keluarga miskin di Kampung Parit Maimon, Parit Sulong," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam program berkenaan seramai 30 kakitangan MAIJ turut serta bergotong-royong bersama 50 penduduk Kampung Parit Maimon di rumah Ismail Marjan, 51, yang menerima bantuan kelengkapan rumah bernilai RM5,000 daripada MAIJ.

Tambahnya, selain bantuan kelengkapan rumah seperti mesin basuh, dapur, tong gas, katil, tilam, almari dan kipas mereka juga bergotong-royong mengecat dan memasang tikar getah yang kesemuanya diperuntukkan oleh MAIJ.

Azlan berkata, setiap penerima bantuan MAIJ akan dipantau dari semasa ke semasa untuk dinilai perkembangan mereka sama ada boleh berdikari atau tidak bagi memastikan mereka dapat keluar daripada belenggu kemiskinan dan hidup dengan lebih selesa.

''Sekiranya penerima memang tidak boleh bekerja serta terlantar, MAIJ akan terus menghulurkan bantuan, tetapi jika mereka boleh berdikari, MAIJ akan pantau dan membimbing mereka," jelasnya.

Menurutnya, selain bantuan rumah serta kelengkapan rumah, MAIJ juga menghulurkan bantuan berupa peralatan kepada mereka yang memerlukan seperti mesin jahit atau mesin air tebu untuk seseorang itu berdikari.

Tambahnya, alat-alat serta modal permulaan juga akan dibantu oleh MAIJ dari semasa ke semasa sehingga penerima boleh berdikari dan mampu menyara hidup keluarga.

Beliau berkata, program Insaniah ini juga membantu mereka yang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal, warga miskin dan daif serta mempunyai anak ramai yang masih bersekolah.

Katanya, setiap daerah akan dikunjungi sebulan sekali bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan selepas ini mereka akan mengunjungi daerah Pontian pula.

''Program di sini merupakan pertama kali diadakan dan melibatkan kakitangan juga penduduk kampung yang ramai," jelasnya.

Di samping itu, beliau menambah, antara objektif program ini adalah untuk mendekatkan diri dengan masyarakat di samping mendedahkan kepada orang ramai bahawa MAIJ turut bergerak dan turun padang membantu mereka yang tidak berkemampuan.

Sumber Berita : Utusan Malaysia