Tajuk : Ismail sekeluarga terharu dapat rumah

BATU PAHAT 6 Feb. - Rasa terharu menyelubungi perasaan Ismail Marjan, 51, bersama isteri Roliah Tiromi, 49, apabila kediaman mereka di Kampung Parit Maimon, Parit Sulong, dekat sini yang dahulunya daif kini bertukar wajah kepada sebuah kediaman baru dan selesa.

Melalui Program Insaniah Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dengan kerjasama program Menyusur Akar Ahli Parlimen Parit Sulong, Ismail kini sekeluarga memiliki rumah yang sebelum ini tidak pernah terbayang boleh dimilikinya.

Rumah bernilai RM25,000 itu dibina atas semangat gotong- royong antara penduduk kampung serta disempurnakan dengan kelengkapan dan kebersihan sekitar oleh kakitangan MAIJ, baru-baru ini.

Hadir sama Penolong Pengarah MAIJ, Azlan Abdullah.

Ismail yang mempunyai lapan anak dan bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan tidak menentu itu, turut menanggung empat anak yang masih bersekolah dan seorang daripadanya anak istimewa.

Justeru, dia melahirkan kesyukuran di atas sumbangan yang amat bermakna daripada MAIJ itu yang sebelumnya bermula dengan lawatan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad.

"Kami sekeluarga cukup terharu dan berterima kasih malahan atas bantuan membina rumah ini dan hingga kini juga kami sekeluarga tidak putus-putus menerima pelbagai bantuan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ismail berkata, kehadiran 30 kakitangan MAIJ serta 50 penduduk kampung yang bergotong-royong membersih, mengecat, memasang tikar getah serta memberinya kelengkapan rumah termasuk satu set meja makan bernilai RM5,000 membuatkan dia berasa sebak.

"Saya hanya mampu kata terima kasih banyak-banyak," kata Ismail sambil menahan air mata daripada mengalir.

Katanya, harapannya selepas ini ialah agar anak-anak dapat belajar dengan lebih cemerlang di rumah baru mereka bagi membina masa depan yang cerah apabila dewasa kelak.

Sementara itu, Penghulu Mukim 4 Simpang Kiri, Parit Sulong, Nor Rafizan A. Rahman berkata, keprihatinan MAIJ melalui Program Insaniah ini amat dihargai bukan sahaja kepada golongan asnaf malahan juga penduduk kampung yang tumpang gembira melihat golongan miskin di kampung itu dibantu.

Katanya, program itu memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa MAIJ adalah sebuah badan yang berkesan dan telus dalam menghulurkan bantuan dan sentiasa dekat dengan masyarakat.

Tambahnya, kehadiran anggota MAIJ dan penduduk kampung yang bergotong-royong dapat mengeratkan silaturahim sesama mereka dan ia patut menjadi teladan kepada semua.

Setakat ini, katanya, di kawasan mukim itu, seramai 82 orang telah menerima pelbagai bantuan MAIJ iaitu dua keluarga menerima rumah baru, 12 orang menerima bantuan dialisis, tiga orang bantuan perubatan dan 67 orang bantuan bulanan bernilai lebih RM160,000.

Selain itu, katanya, 67 orang yang menerima bantuan bulanan itu ialah ibu-ibu tunggal, orang miskin dan warga emas.

Sumber Berita : Utusan Malaysia