JOHOR BAHRU: Unit Baitulmal Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) akan membuat keputusan dalam masa terdekat berhubung jumlah bantuan sara hidup bulanan bakal diterima bayi berusia 15 bulan, Muhammad Ramadhani yang mengalami kecacatan sindrom Prune Belly iaitu dilahirkan tanpa otot pada dinding perut hadapan.
Pegawai Bahagian Siasatan Unit Baitulmal MAIJ , Mohd Hakimi Nawawi, berkata ibu bayi itu, Julina Ismail, 31, menyerahkan borang permohonan di pejabatnya di Pusat Islam Iskandar Johor, jam 11 pagi semalam.
Beliau berkata, selepas penderitaan ibu dan bayi berkenaan disiarkan di Harian Metro pada 24 Januari lalu, beliau ke rumah keluarga angkat mereka di Ulu Tiram, kira-kira dua minggu lalu sebelum mesyuarat mengenainya minggu lalu.
“Ibu bayi berkenaan membuat permohonan bantuan sara hidup bulanan dan kos rawatan, tetapi setakat ini kami belum memutuskan jumlah sara hidup bulanan bakal diterimanya.
“Jika keputusan sudah dibuat, dia layak menerimanya sama ada secara tunai atau dimasukkan ke dalam akaun bank dan bantuan itu disemak dari setahun ke setahun. Selain itu, jika terdesak misalnya untuk melakukan pembedahan, dia boleh memohon kepada Baitulmal,” katanya.
Pada 24 Januari lalu, muka depan Harian Metro melaporkan, biarpun Muhammad Ramadhani mengalami penyakit ganjil kononnya akibat ‘kenan katak’, Julina tidak sanggup berpisah dengan anak keempatnya itu selepas tiga anaknya sebelum ini sudah diserahkan untuk dibela oleh orang lain.
Akibat mengalami penyakit berkenaan, Muhammad Ramadhani lebih suka meniarap termasuk ketika tidur, tidak seperti kebanyakan bayi normal yang kebiasaannya menelentang ketika tidur. Malah bayi berkenaan yang memiliki rupa paras yang comel dan sempurna, tidak boleh berdiri atau berjalan selain bergerak dengan cara mengensot dada ke depan seperti katak sedang merangkak.
Bilangan tulung rusuk kanak-kanak itu juga dikatakan hanya separuh berbanding bayi normal menyebabkan badan Muhammad Ramadhani tidak dapat menampung usus menjadikan ia menggeleber ke kiri dan kanan badan, sehingga dia hanya mampu duduk sekejap saja kerana cepat semput.

Sumber Berita : Harian Metro |