PONTIAN 10 Julai - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) memberi bantuan sara hidup kepada seorang ibu tunggal bersama empat anaknya bagi meringankan bebanan mereka.
Pegawai Tadbir Agama Daerah Pontian, Halid Sono berkata, pihaknya membantu Syamsinar Idros, 35, yang kini tidak mempunyai sumber pendapatan bagi menyara keluarganya setelah kematian suami, Tahir Zainal, 40, baru-baru ini.
Selain bantuan sara hidup, MAIJ juga akan mendapatkan bantuan lain seperti pakaian dan peralatan sekolah bagi dua orang anaknya yang masih bersekolah rendah.
"Kami akan cuba membantu sama ada dari segi kewangan atau barangan makanan bagi meringankan lagi kehidupan seharian keluarga yang tidak bekerja dan tidak mempunyai punca pendapatan," katanya.
Beliau ditemui semasa menyampaikan sumbangan dua buah basikal untuk kegunaan anak-anak Syamsinar dan keperluan harian seperti beras dan gula, di sini kelmarin.
Halid berkata, walaupun Syamsinar merupakan rakyat Indonesia dan masih menunggu jawapan permohonannya mendapatkan taraf Penduduk Tetap (PR), tetapi empat orang anaknya merupakan warganegara Malaysia yang memerlukan pembelaan dan perhatian.
"Lebih-lebih lagi mereka sekeluarga telah hilang mata pencarian apabila ayah empat orang anak itu meninggal dunia baru-baru ini," ujarnya.
Sementara itu, Syamsinar mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk MAIJ kerana membantu mereka sekeluarga sekali gus meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung selepas ketiadaan suaminya.
Katanya, selepas kematian suaminya, dia tidak tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan bersama empat anaknya lebih-lebih lagi tanpa sebarang pekerjaan.
"Tetapi alhamdulillah berkat doa selepas solat dimakbulkan Tuhan, pegawai tadbir agama datang melihat sendiri kehidupan kami lima beranak dan memberi nasihat serta perangsang meneruskan kehidupan," katanya dengan linangan air mata.
Anak sulung Syamsinar, Junita Nurtasya, 10, berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarganya dan bercita-cita menjadi guru.
Dia dan adiknya, Wardina Saffiya, 8, gembira kerana mendapat sumbangan basikal daripada MAIJ untuk kegunaannya ke sekolah.
Sumber Berita : Utusan Malaysia |