JOHOR BAHRU 30 Julai - Penderitaan empat warga miskin dan orang kurang upaya (OKU) di sini mendapat perhatian apabila menerima pelbagai bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) hari ini.
Mereka adalah penghidap leukemia, Mohd. Daniel Othman, 5; penghidap masalah pendengaran, Noorhazatunisa Zakaria, 27; warga miskin, Rosli Sa'adon, 34, dan Sa'adiah Bachok, 65.
Mohd. Daniel menerima bantuan RM1,500 sebulan bagi menampung rawatan kos rawatan kemoterapi kerana bapanya Othman Bustani, 35, tidak mampu menanggung kos itu dengan hasil pendapatan RM1,000 sebulan sebagai peniaga goreng pisang.
Othman berkata, dia bersyukur dengan bantuan tersebut bagi meringankan beban menyara keluarganya termasuk menanggung persekolahan seorang lagi anaknya, Dayana, 9.
"Dengan bantuan ini, cukup untuk menampung kos rawatan anak saya yang disahkan menghidap penyakit itu sejak dilahirkan," katanya.
Othman yang menetap di Taman Tan Sri Yacob di sini berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan MAIJ dan majlis Program Memartabatkan Ummah MAIJ dan Polis Johor di Hotel Paragon, di sini hari ini.
Rosli pula berkata, bantuan pembinaan rumah bernilai RM33,000 yang diterimanya menamatkan kepayahan tinggal di rumah usang di Kampung Melayu, Gelang Patah, dekat sini sejak 18 tahun lalu.
"Rumah sekarang usang dan senget tetapi dengan bantuan ini tidak lama lagi kami sekeluarga bakal duduk di rumah baru yang akan dibina," kata buruh binaan yang juga bapa kepada lima orang anak itu.
Dengan pendapatan tidak menentu kira-kira RM500 sebulan, dia bersyukur anak-anak dan isterinya dapat tinggal di rumah yang lebih selesa apabila rumahnya siap di Kampung Melayu, Gelang Patah dekat sini.
Warga emas, Sa'adiah memberitahu, dia terpaksa menjalankan rawatan dialisis ekoran diserang strok dan bantuan pembinaan rumah RM33,000 itu membolehkannya tinggal dengan lebih selesa.
Menurutnya, rumah peninggalan suaminya yang meninggal dunia pada 2007 itu akan dibina baru untuk membolehkan dia bersama tiga orang anaknya tinggal dengan lebih selesa.
Selain itu, Noorhazatunisa yang mengalami masalah cacat pendengaran pula menerima bantuan sebanyak RM2,000 bagi membantunya membeli alat pendengaran.
Sumber Berita : Utusan Malaysia |