Tajuk : Kutipan zakat MAIJ meningkat

JOHOR BAHRU: Jumlah kutipan zakat yang berjaya dipungut Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) pada tahun lalu meningkat sebanyak RM21.4 juta apabila mencatatkan kutipan sebanyak RM100.7 juta berbanding hanya RM78.6 juta pada tahun sebelumnya.

Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf MAIJ, Ahmad Faisal Mohamed, berkata hasil kutipan zakat itu sudah diagihkan kepada golongan miskin yang layak untuk menerima bantuan.

Beliau berkata, antara agihan terbesar ialah untuk perbelanjaan kesihatan membabitkan lebih RM9 juta termasuk perbelanjaan dialisis sebanyak RM8 juta, pinjaman perubatan kepada pelajar sebanyak RM680,000 dan perbelanjaan rawatan lain RM1.6 juta.

Katanya, sebanyak RM5.95 juta juga sudah diagihkan kepada 2,406 orang miskin yang layak untuk menerima agihan zakat sara hidup sebanyak RM300 sebulan yang diberikan kepada golongan itu.

"MAIJ juga sudah membuat agihan zakat sebanyak RM1.7 juta untuk membeli pakaian sekolah yang diberi kepada pelajar dan sebanyak RM2.3 juta juga sudah diagihkan untuk membina 68 rumah yang akan diberi kepada golongan layak.

"Agihan zakat untuk perbelanjaan bencana alam juga sudah diagihkan membabitkan bantuan sebanyak RM200,000," katanya.

Sumber Berita : Berita Harian