Tajuk : Pasangan warga emas, OKU dapat rumah murah

MAIJ bantu bina kediaman di atas tapak penduduk

KOTA TINGGI: Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) membina rumah kos rendah masing-masing sebuah untuk pasangan warga emas dari Kampung Lukut dan pasangan orang kurang upaya (OKU) di Kampung Semanggar Dalam di sini.

Sawal Jauh, 65, dan isteri, Umi Salamah Ma’on, 63, yang tidak mempunyai pendapatan tetap terpaksa tinggal dalam sebuah bilik di bahagian dapur selama empat bulan selepas rumah mereka terbakar.

Bagi pasangan OKU, Melati Muhammad, 40, dan Maznil Hisham Harun, 45, dari Kampung Semanggar Dalam yang mempunyai dua anak turut menerima bantuan itu selepas rumah mereka terlalu uzur dan tidak selamat didiami.

Rumah baru dua pasangan itu dibina di atas tanah mereka sendiri sejak Februari lalu dan setiap rumah dianggarkan bernilai RM26,300.

Rumah kos rendah itu mempunyai satu ruang tamu, satu bilik air dan tiga bilik tidur yang selesa, selain turut dibekalkan dengan elektrik dan air.

Pegawai Tadbir Agama daerah, Mohd Taufik Samsudin, berkata bantuan perumahan itu dibuat melalui proses yang ditetapkan MAIJ.

“Kita akan buat soal selidik latar belakang keluarga sebelum cadangan dikemukakan kepada Pejabat Daerah sebagai penyelaras.

“Kemudian Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) akan menentukan sama ada individu itu layak atau tidak menerima bantuan itu. Setakat ini, kami terima banyak cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuk di peringkat kampung dan wakil rakyat.

"Semua itu perlu mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pasangan warga emas dan OKU itu bersama Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, Halimah turut memberikan sumbangan berbentuk barang makanan dan wang belanja dapur kepada kedua-dua pasangan itu.

Halimah berkata, pemimpin pada peringkat mukim perlu sentiasa meninjau keadaan anak buah mereka dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti pihak yang memerlukan bantuan.

Sumber Berita : Berita Harian