JOHOR BAHRU 17 Mei - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) tidak pernah mengabaikan saudara baru, sebaliknya sentiasa mengambil pendekatan proaktif terhadap isu-isu dan permasalahan yang dihadapi oleh mereka.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, MAIJ sentiasa menangani masalah tersebut menerusi pegawai penggerak saudara baru di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, MAIJ telah mengenal pasti masalah yang sering dihadapi oleh saudara baru iaitu pengabaian, disisih ahli keluarga, dipandang serong, sukar mencari pekerjaan dan diabaikan kebajikan.
"Membantu mualaf (saudara baru) bukanlah kerja agensi semata-mata tetapi ia adalah menjadi tanggungjawab semua Muslim.
"Kita perlu memperkasakan lagi jaringan perhubungan dengan mereka yang baru memeluk Islam kerana hubungan silaturahim dan tali persaudaraan kukuh yang wujud antara kita dapat mengelakkan pengabaian terhadap mereka yang baru berjinak-jinak mengenal Islam," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvensyen Saudara Kita Peringkat Negeri Johor 2009 di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Abdul Ghani turut melancarkan laman web e-ukhuwah, modul sukatan saudara kita, sistem maklumat saudara kita dan kad akuan Islam.
Abdul Ghani berharap menerusi konvensyen tersebut, satu pendekatan bijak dan efektif dapat diambil agar golongan saudara baru sentiasa dibela dan dijaga hal ehwal serta kebajikan mereka.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya pegawai penggerak saudara baru sentiasa mengadakan lawatan susulan secara serius bagi mengelak golongan mualaf kembali semula kepada ajaran agama asal mereka.
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 orang itu, Mohd. Shafiq Vijaya Abdullah, 43, dari Kluang dan Rosaliah Abdullah, 42, dari Johor Bahru dipilih sebagai penerima Anugerah Cemerlang Saudara Kita dan masing-masing menerima wang tunai RM1,000.
Sementara itu, bagi kategori Anugerah Cemerlang Orang Asli, Lias Hassan, 59, dari Kampung Orang Asli Segamat Kecil dipilih sebagai pemenang dan menerima wang tunai RM1,000.