Tajuk : Skim bayaran zakat Infaq diperluaskan ke semua agensi

JOHOR BAHRU 26 Mei - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) akan memperluaskan pembayaran zakat pendapatan melalui skim Infaq (potongan gaji) ke semua jabatan dan agensi kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, langkah itu bagi meningkatkan jumlah kutipan zakat demi pembangunan sosioekonomi serta kehidupan golongan miskin di negeri ini.

Menurutnya, sejak zakat Infaq diperkenalkan dua tahun lalu, sambutan yang diberikan amat baik dan pada keseluruhannya masih ada ruang untuk dipertingkatkan khasnya pembayar zakat.

"Contohnya, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor sehingga kini mempunyai 13,000 atau 40 peratus daripada 31,000 kakitangannya yang beragama Islam telah membayar zakat itu dengan nilai RM5.2 juta.

"Ini bermakna masih 60 peratus lagi yang boleh memanfaatkan skim tersebut dengan cara membayar zakat pendapatan menerusi kaedah potong gaji atau skim Infaq," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Zakat Pendapatan Melalui Skim Infaq anjuran Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan JPN Johor, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Johor, Md. Hasidin Zaini dan Pengarah MAIJ, Abdul Rahman Jaffar.

Zainal berkata, bagi menyelaras kutipan Infaq itu, Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) dan pihak sekolah dilantik sebagai amil zakat oleh MAIJ dan mereka turut dibayar elaun sebanyak 1/16 peratus daripada hasil kutipan Infaq.

Menjawab pertanyaan Zainal berkata: "Jika dilihat dari segi angka yang membayar zakat menerusi skim Infaq, ini tidak bermakna mereka tidak membayar zakat pendapatan, sebaliknya telah melunaskan kewajipannya menerusi kaedah konvensional.

"Ini bermakna skim yang kita perkenalkan adalah pemudah cara kerana pembayar zakat tidak perlu membayar sekali gus dalam jumlah yang besar, sebaliknya melakukannya dengan cara pemotongan gaji setiap bulan," katanya.

Beliau yakin jumlah pembayar dan kutipan zakat Infaq akan bertambah pada masa akan datang.

Sumber Berita : Utusan Malaysia