Tajuk : Keperitan hidup pengawal keselamatan dapat perhatian MAIJ

JOHOR BAHRU 14 Nov. - Keperitan hidup seorang pengawal keselamatan yang selama ini terpaksa hidup berpindah randah kerana tidak mampu untuk membayar sewa rumah akhirnya terbela.

Azmi Othman, 56, sebelum ini pernah memohon untuk mendapatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di daerah ini sejak 2007, bagaimanapun sehingga kini terpaksa menunggu untuk mendapatkannya.

Menurutnya, sejak itu dia yang tinggal bersama isteri dan tiga anak yang masih bersekolah terpaksa berpindah randah lebih 10 kali gara-gara tidak mampu membayar sewa rumah.

"Bayangkanlah gaji saya RM700 sebulan, nak bayar sewa rumah RM400 pun tak mampu apatah lagi untuk menampung perbelanjaan harian keluarga.

"Nak harapkan dua lagi anak saya yang sudah berkahwin, mereka pun ada keluarga sendiri yang hendak dijaga," katanya ketika ditemui di rumah anak keduanya di Permas Jaya di sini semalam.

Semalam, Setiausaha Politik Menteri Pelajaran, Syahrin Md. Jamaludin hadir menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian sumbangan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) kepada Azmi.

Syahrin berkata, dia yang dimaklumkan tentang kepayahan hidup keluarga berkenaan berjanji akan membantu keluarga tersebut untuk mendapatkan rumah PPR dalam masa terdekat.

"Kita akan membantu keluarga Azmi memandangkan dia kini terpaksa tinggal di rumah anak keduanya yang juga menyewa," katanya

Sumber Berita : Utusan Malaysia