MERSING 25 Ogos - Nasib Rozali Abdul Rahman sekeluarga yang kehilangan tempat berteduh setelah rumah mereka di Kampung Baru Penyabong, Endau musnah dalam kebakaran 16 Ogos lalu mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Menerusi peruntukan Baitulmal, MAINJ memberi bantuan RM300 sebulan kepada Rozali, 52, dan keluarganya.
Bantuan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman di sini semalam.
Pada majlis itu, Zainal Abidin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau menyampaikan barangan keperluan harian dan sumbangan peribadi RM1,000 kepada mangsa.
Zainal Abidin berkata, kerajaan menerusi agensi dan badan yang berkaitan sentiasa membantu rakyat yang memerlukan bantuan terutamanya yang ditimpa bencana.
Beliau memberitahu, MAINJ kini juga berusaha untuk mendapatkan penempatan di Rumah Baitulmal MAINJ di Penyabong, Endau untuk keluarga Rozali.
Sementara itu, Rozali mengucapkan terima kasih dan bersyukur atas bantuan yang diberikan oleh MAINJ dan Zainal Abidin.
Menurutnya, bantuan itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarganya, khususnya untuk pelajaran enam orang anaknya.
"Dengan keadaan saya yang tidak mempunyai pekerjaan, bagaimana dapat saya menanggung keenam-enam orang anak yang masih lagi belajar. Bantuan itu akan digunakan untuk keperluan harian kami.
"Isteri saya hanya bekerja sebagai tukang masak dengan berpendapatan RM450 sebulan tidak mencukupi untuk menyara kehidupan kami sekeluarga," katanya.
Rozali memberitahu, seorang anaknya kini menuntut di Institut Latihan Automatif Parit Raja, Batu Pahat, dua orang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Husin, dua lagi di Sekolah Kebangsaan Penyabong manakala yang bongsu masih di tadika.
Ekoran kejadian tersebut, Rozali sekeluarga kini menumpang berteduh di sebuah balai raya dekat situ.
Rozali berkata, semasa kejadian pukul 12 tengah hari itu, mereka sekeluarga tiada di rumah.
Sumber Berita : Utusan Malaysia |