Tajuk : MAIJ sasar kutip zakat RM110j

JOHOR BAHRU 26 Ogos - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM110 juta tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Zainal Abidin Osman berkata, ia boleh dicapai kerana sehingga bulan ini sahaja, pungutan zakat di negeri ini mencecah RM41.4 juta.

Beliau berkata, jumlah tersebut adalah hasil kutipan daripada 42,299 pembayar zakat seluruh Johor.

"Pihak kami optimis untuk mencapai sasaran kutipan seperti yang diinginkan," katanya ketika berucap sempena majlis berbuka puasa jabatan berkenaan bersama media di sini semalam.

Bagi kadar zakat pula, MAIJ menetapkan dua kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun ini iaitu RM5 atau RM7.50 seorang berbanding RM6.50 seorang tahun lalu.

"Bayaran boleh dibuat mengikut kesedaran sendiri iaitu bagi mereka yang memakan beras biasa yang berharga RM1.80 ke bawah maka bayaran zakat fitrah ialah RM5 seorang, manakala bagi mereka yang memakan beras mahal iaitu RM1.80 ke atas maka dikehendaki membayar RM7.50 seorang," katanya.

Zainal berkata, pihaknya juga menganggarkan pungutan zakat fitrah untuk tahun ini adalah sebanyak RM11.5 juta daripada 1.78 juta pembayar di negeri ini.

Dari segi pembahagian mengikut asnaf pula, sehingga kini sebanyak RM34.1 juta telah diagihkan.

Untuk bantuan hari raya, kata Zainal, MAIJ akan mengagihkan sebanyak RM2.89 juta kepada 18,574 ketua keluarga fakir dan miskin seluruh Johor.

"Mudah-mudahan dengan bantuan yang akan disampaikan ini akan membolehkan golongan yang kurang berkemampuan ini sama-sama dapat membuat persiapan menyambut hari raya,'' katanya.

Sumber Berita : Utusan Malaysia