BATU PAHAT 29 Okt. - Semangat kerjasama, prihatin, saling hormat menghormati dan toleransi antara penduduk berbilang kaum di negara ini perlu dikekalkan kerana ia mampu membentuk masyarakat majmuk yang aman dan damai.
Kegagalan dalam mengekal dan meneruskan semangat itu diyakini boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk menggugat keamanan dan keselamatan negara.
Menyedari hakikat itu, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Parlimen Parit Sulong dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Guntong menganjurkan Program Khidmat Masyarakat di kampung berkenaan baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin berkata, semangat kerjasama yang wujud dalam kalangan penduduk di sesebuah kawasan dapat membentuk toleransi yang berkekalan antara mereka.
Beliau berkata, semangat kerjasama dan gotong-royong pada program berkenaan mampu menjadi pemangkin dalam membentuk perpaduan utuh antara masyarakat terutamanya keinginan untuk saling bantu membantu antara satu sama lain apabila diperlukan.
''Ia patut dicontohi oleh penduduk kampung lain agar semangat perpaduan dan kerjasama itu dapat terus dikekalkan sebagai satu tradisi,'' katanya semasa merasmikan program tersebut.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Zakat, Baitulmal dan Wakaf MAIJ, Faisal Mohamed; Pengarah Jasa Johor, Mohamad Abu Bakar dan Pegawai Pentadbir Agama Batu Pahat, Mustafa Omar.
Ariss berkata, kesepakatan antara penduduk membolehkan pelbagai masalah atau kerja yang hendak dilaksana di kampung dapat dilakukan tanpa sebarang kesulitan.
Pada program itu, para peserta turut bergotong-royong membaik pulih rumah seorang fakir miskin di kampung berkenaan, Rahimah Taha, 63, serta membersihkan masjid dan tanah perkuburan di Kampung Parit Sangit serta mengecat surau di Kampung Parit Guntong Darat.
MAIJ turut menyampaikan bantuan sara hidup bulanan antara RM400 hingga RM700 kepada lima golongan miskin, bantuan perubatan bulanan antara RM200 dan RM300 kepada dua penerima dan menyumbang bantuan RM33,000 bagi membina rumah kepada Hamdan Selamat dari Kampung Parit Haji Ibrahim, Bagan dekat sini.
Sumber Berita : Utusan Malaysia |