Tajuk : MAIJ sedia RM93 juta bantu asnaf

BATU PAHAT 29 Okt. - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) memperuntukkan RM93 juta pada tahun ini kepada kesemua asnaf dan sebanyak RM52 juta telah diagihkan melalui zakat sehingga kini.

Bantuan berkenaan diagihkan menerusi pelbagai bentuk seperti perubatan, pelajaran, rumah, modal berniaga dan peralatan keperluan hidup.

Penolong Pengurus Unit Agihan Zakat MAIJ, Azlan Abdullah berkata, pada 2004 hingga kini, seramai 350 orang yang layak telah menerima bantuan membabitkan kos kira-kira RM1.5 juta.

Beliau berkata, pada 2007 sebanyak RM27 juta diperuntukkan untuk bantuan sara hidup fakir miskin dan perubatan untuk asnaf yang sakit kronik.

''Sebanyak 120 buah rumah untuk fakir miskin telah dibina dengan kos RM33,000 setiap satu dan daripada jumlah itu sebanyak 27 buah rumah telah dibina di daerah Batu Pahat," katanya semasa ditemui Utusan Malaysia pada Program Khidmat Kemasyarakatan di Kampung Parit Guntong, dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, selain bantuan rumah di bawah Program Insaniah, MAIJ turut memberikan peralatan berniaga seperti mesin jahit, mesin rumput, enjin bot dan modal berniaga yang tidak lebih RM10,000.

Bagi bantuan pelajaran, Azlan berkata, ia diberi kepada mereka yang layak setelah mendapat tawaran belajar di institusi pengajian tinggi awam atau swasta di peringkat sijil, diploma dan ijazah.

Menurutnya, bagi yang mengikuti pengajian di peringkat sijil mereka akan dibantu sebanyak RM500, diploma (RM700) dan ijazah (RM1,000).

Katanya, bagi yang mengikuti pengajian di luar negara, MAIJ memperuntukkan RM4,000 setahun selama empat tahun pengajian dan ia tidak perlu dibayar balik.

Selain itu, terdapat juga pinjaman pendidikan bagi pelajar perubatan khas di Mesir yang akan mendapat pinjaman RM20,000 hingga RM30,000 setahun bergantung kepada latar belakang keluarga selama enam tahun pengajian.

Setakat ini, seramai 45 penuntut perubatan di Mesir telah ditaja oleh MAIJ dan seorang lagi di Moscow, Rusia yang menelan kos kira-kira RM1.6 juta setahun.

''Tetapi kebanyakan mereka yang ditaja kesemuanya setakat ini menunjukkan keputusan cemerlang dan bijak,'' katanya sambil memberitahu MAIJ turut menyasarkan RM110 juta jumlah kutipan zakat pada tahun ini berbanding RM100 juta tahun lalu.

Mengenai Program Khidmat Kemasyarakatan yang dijalankan, Azlan berkata, program berkenaan bertujuan memperkasa dan membantu masyarakat Islam yang memerlukan pembelaan.

Sumber Berita : Utusan Malaysia