Tajuk : Tabung masjid berjaya kumpul RM8 juta

PONTIAN 11 Feb. - Sebanyak RM8 juta berjaya dikumpul dalam Tabung Pembangunan Masjid Johor sejak dilancarkan pada 2001 hingga tahun lalu. Dana itu diperoleh hasil sumbangan masyarakat selain potongan gaji bulanan minimum RM2 kakitangan awam negeri dan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, dengan adanya tabung tersebut, ia memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat amal jariah.

Menurutnya, Tabung Pembangunan Masjid sedikit sebanyak telah dapat membantu kerajaan negeri membina masjid baru atau kerja-kerja membaik pulih dan sebagainya.

Beliau berkata, pembiayaan bagi membina masjid ketika ini turut ditampung oleh Kerajaan Pusat yang menyumbangkan 70 peratus, manakala selebihnya ditanggung kerajaan negeri.

"Di peringkat negeri, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) memberi sumbangan 15 peratus, sementara kerajaan negeri sebanyak 15 peratus," katanya pada majlis penyampaian sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Masjid Jamek Kampung Parit Marjunid, Benut, di sini malam tadi.

Sumbangan tersebut akan digunakan untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan masjid baru di kampung tersebut yang dibina secara bergotong-royong oleh penduduk.

Zainal Abidin berkata, selain menerusi potongan gaji bulanan, umat Islam juga boleh memberi derma ikhlas dengan menghubungi Pejabat Agama Daerah yang berhampiran.

Menurutnya, pada tahun ini, sebanyak RM102 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi membina 52 masjid baru termasuk yang sedang dalam proses pembinaan di seluruh negeri ini.

Katanya, kos bagi membina sebuah masjid baru ketika ini dianggarkan RM1.3 hingga RM1.5 juta, bergantung kepada lokasinya.

Selain itu, MAIJ juga akan membina 121 buah sekolah agama dalam tempoh dua tahun ini dengan kos RM264 juta.

"Selain masjid dan surau, sekolah agama juga merupakan keperluan bagi melahirkan generasi muda yang bukan saja berilmu tetapi bertakwa dan bersahsiah tinggi," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia