Tajuk : MIDF keluar zakat RM1.9 juta

KANGAR 5 Feb. - Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) mengeluarkan zakat perniagaan sebanyak RM1.9 juta yang akan digunakan untuk membina 57 rumah keluarga miskin tegar di Johor, Kelantan dan Perlis.

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Mohd. Najib Abdullah berkata, sebanyak RM1 juta dibayar kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), RM545,000 untuk Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan RM30,000 untuk Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

Beliau berkata, bagi bayaran zakat RM1 juta untuk Perlis pula, ia akan digunakan oleh MAIPs untuk membina 30 rumah keluarga miskin.

"Setiap rumah di bawah program ini berharga RM30,000 dan jika perlu, RM3,000 lagi akan disumbang untuk menyediakan peralatan asas," katanya pada sidang akhbar di pejabat MAIPs di sini hari ini.

Mohd. Najib kemudian menyerahkan cek berkenaan kepada Yang Dipertua MAIPs,

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail sebelum solat fardu Jumaat.

Untuk zakat di Johor, ia akan digunakan untuk membina rumah baru untuk lapan keluarga di Muar dan sembilan di Kota Tinggi.

"Ia disalurkan menerusi fasa pertama dan kedua Program Rumah Murni, manakala fasa ketiga di Kelantan untuk mendirikan 10 buah rumah," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia