Tajuk : Tahniah!

JOHOR BAHRU 22 Feb. -Tahniah diucapkan! MAIJ telah dianugerahkan sebagai Johan Pertandingan Laman Web Terbaik Kerajaan Negeri Johor 2009 bagi kategori Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Latiff Yusof berkata, “Laman web amat penting kerana ia dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat secara dalam talian sekali gus meningkatkan kecekapan agensi kerajaan,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Pertandingan Laman Web Terbaik Kerajaan peringkat negeri 2009.

Majlis yang diadakan buat kali ketiga itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Beliau turut meminta semua agensi kerajaan memberi perhatian serius dengan meningkatkan kualiti laman web masing-masing dan menetapkan sasaran lebih tinggi pada pertandingan akan datang.

“Bagi pertandingan pada 2010, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya lima laman web agensi kerajaan mendapat lima bintang,” katanya.

Beliau berkata, kualiti laman web dinilai berdasarkan garis panduan yang ditetapkan dalam Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 iaitu Pengurusan Portal dan Laman Web Sektor Awam.

Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) muncul juara kategori Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun, manakala Majlis Bandaraya Johor Bahru menjuarai kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Kategori Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah Daearah pula dimenangi Pejabat Tanah Johor Bahru, manakala Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri menjuarai kategori Pejabat Setiausaha Kerajaan dan Kerajaan Negeri.

Masing-masing membawa pulang piala, sijil dan hadiah iringan.