Tajuk : Ukhwah Jemaah Tetap Kukuh

MUAR 25 Jan. – Biarpun diduga dengan insiden kebakaran kecil akibat perbuatan khianat, semangat ukhwah di kalangan jemaah di Surau Parit Beting, Jalan Salleh dan Surau Silaturahim di Jalan Ismail Omar di sini tetap kukuh dan tidak luntur.

Bahkan, insiden tersebut membangkitkan lagi kesedaran masyarakat setempat untuk mengimarahkan lagi rumah ibadat itu dan ia dapat dilihat dengan kehadiran lebih ramai generasi muda untuk bersama-sama bersolat jemaah.

Pengerusi Jawatankuasa Surau Parit Beting, Isnin Othman, 70, berkata, kebakaran yang berlaku di surau itu bukan penghalang kepada penduduk untuk terus menjalankan aktiviti ibadah.

“Segala urusan berjalan seperti biasa, namun saya cukup gembira untuk menyaksikan lebih ramai anak muda kini bersama-sama bersolat jemaah terutamanya pada waktu Maghrib dan Isyak,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, Surau Parit Beting dan Surau Silaturahim yang jarak antaranya kurang dua kilometer menjadi sasaran perbuatan khianat yang mengakibatkan kebakaran kecil.

Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu, seramai empat lelaki termasuk seorang anak anggota polis berusia 18 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

Menurut Isnin, beliau tidak mahu membuat sebarang andaian mengenai perkembangan terbaru kes itu dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis.

“Untuk membantu menjaga keselamatan, penduduk kampung turut mengadakan rondaan dari semasa ke semasa di samping dibantu pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Surau Silaturahim, Sehat Atan, 58, ahli jemaah suraunya itu amat terharu dengan kunjungan pemimpin pelbagai lapisan yang mengambil berat mengenai insiden tersebut.

“Antara yang melawat ialah Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim; Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani serta beberapa pemimpin lain,” katanya.

Katanya, ruang masjid yang terjejas akibat kebakaran itu akan dibaiki segera menerusi peruntukan daripada Pejabat Daerah Muar serta Majlis Agama Islam Johor (MAIJ)

Sumber Berita : Utusan Malaysia