MERSING 31 Mei - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) telah mengagihkan sejumlah RM10,119,015.43 wang zakat kepada 6,856 asnaf yang layak di seluruh negeri bagi empat bulan pertama tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, daripada jumlah itu, penerima bantuan sara hidup bulanan adalah asnaf paling ramai iaitu 4,432 orang yang melibatkan bayaran RM4,986,049.88, diikuti penerima skim bantuan perubatan seramai 1,696 orang dengan jumlah RM4,039,368.85.
"Bagi skim bantuan perubatan, mereka yang memohon bantuan untuk rawatan hemodialisis sahaja berjumlah RM2,879,116.03 iaitu seramai 1,056 orang," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Sekolah Agama Mersing Kanan, di sini kelmarin.
Beliau berkata, MAIJ turut mengagihkan zakat tersebut kepada golongan yang memohon bantuan pelajaran, membina dan membaiki rumah serta pembangunan asnaf.
"Bagi pelajar Islam yang melanjutkan pengajian ke universiti luar negara di Asia Barat, seramai 113 penuntut menerima bantuan zakat dengan jumlah keseluruhan RM452,978.
"Selain itu, bagi bantuan pelajaran yang turut diberikan termasuk yuran pendaftaran di institusi pengajian tinggi (IPT) serta bantuan pakaian seragam dan yuran kepada pelajar sekolah," katanya.
Beliau berkata, MAIJ akan terus memastikan hasil kutipan zakat disalurkan kepada golongan asnaf yang layak secara telus dan adil.
"Di samping itu, saya berharap pemohon bantuan tersebut bersabar kerana MAIJ memerlukan sedikit masa untuk memproses dan meneliti dokumen permohonan mereka serta membuat siasatan terlebih dahulu agar bantuan dapat diberikan kepada penerima yang layak," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia |