RSS MAIJ (Majlis Agama Islam Negeri Johor) - Berita Semasa dan Pengumuman
Dakwah ke Pulau Tinggi
Justeru, JAIJ dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) telah mengadakan program Jalinan Ukhuwah Jelajah Pulau di Pulau Tinggi, dekat sini, kelmarin bagi bertemu dengan masyarakat yang tinggal di pulau berkenaan.
Program selama dua hari itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk pulau itu yang begitu teruja menerima kunjungan rombongan JAIJ dan MAIJ yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.
Program itu bertujuan memperkukuh hubungan ukhuwah dan silaturahim antara penduduk di Pulau Tinggi dengan kakitangan JAIJ dan MAIJ, di samping menyampaikan sumbangan MAIJ kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIJ, Yahya Ahmad, 43, berkata, program itu juga dapat memberi pendedahan kepada masyarakat setempat mengenai program-program JAIJ serta meninjau peluang-peluang yang boleh disalurkan kepada penduduk.
“Dengan adanya program ini, JAIJ dapat meninjau masalah dan isu-isu yang membelenggu penduduk terutama dalam bidang pendidikan agama dan keperluan bantuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, pelbagai program menarik diadakan sepanjang dua hari program berkenaan dengan penekanan terhadap dakwah secara tidak langsung.
“Antara pengisian program adalah ramah mesra bersama penduduk, sesi perbincangan, gotong-royong membersihkan persekitaran masjid, acara sukaneka dan penyampaian bantuan MAINJ kepada penduduk,” jelasnya.
Pertandingan azan, iqamah dan hafazan surah oleh pelajar sekolah turut diadakan bagi memeriahkan lagi program itu.
Sementara itu, Zainal Abidin memberitahu, pihaknya telah beberapa kali merancang untuk mengadakan program seperti itu agar masyarakat di pulau-pulau tidak berasa dipinggirkan.
“Saya berharap program ini dapat memberi impak yang besar kepada masyarakat di sini dan jalinan ukhuwah dikekalkan,” katanya.
Turut serta mengikuti rombongan tersebut, Timbalan Pengarah Pengurusan JAIJ, Karim Abu Bakar yang juga setiausaha MAIJ; Ketua Penolong Pengarah Baitulmal, Zakat dan Wakaf, Faisal Mohamad serta Kadi Daerah Mersing, Bahrin Jalal.
Sebahagian besar penduduk Pulau Tinggi yang ditemui Utusan Malaysia seronok dan berpuas hati dengan program Jalinan Ukhuwah Jelajah Pulau yang diadakan selama dua hari itu.
Ketua Kampung Pulau Tinggi, Rahman Ali, 58, berkata, seramai 150 penduduk di situ memang ternanti-nanti kunjungan rombongan tersebut untuk beramah mesra dengan kakitangan JAIJ dan MAIJ.
“Selaku pemimpin di sini, saya rasa bangga melihat penduduk begitu teruja dan seronok terutama semasa turut serta dalam setiap program yang diatur oleh JAIJ dan MAIJ,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Zainal Abidin kerana berusaha untuk membawa program tersebut ke Pulau Tinggi.
“Saya harap program ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang bagi mengeratkan lagi silaturahim,” katanya.
Seorang penduduk yang ditemui, Siti Hajar Ibrahim, 18, berkata, dia seronok dapat turut serta dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan masjid bersama peserta rombongan.
“Aktiviti seperti sukaneka antara penduduk dengan peserta rombongan dapat menjalinkan hubungan yang baik serta memberi keseronokan kepada golongan remaja di pulau yang jarang mendapat kesempatan seperti ini,” katanya.
Rakannya, Haneffa Sahardan, 20, turut bersetuju dengan pendapat Siti Hajar serta berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh peserta rombongan bagi menjayakan program itu.
“Semua kakitangan JAIJ dan MAIJ sangat ramah sepanjang program dan tidak lokek berkongsi pendapat.
“Saya juga seronok melihat gelagat peserta terutama dalam acara sukaneka yang turut disertai Datuk Zainal Abidin dan Datin Nor Izzah,” katanya.
Sementara tu, Hafizah Harisa Sahardan, 19, berharap program tersebut akan diadakan lagi pada masa akan datang.
MAIJ Agih Wang Zakat Lebih RM10 Juta
Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, daripada jumlah itu, penerima bantuan sara hidup bulanan adalah asnaf paling ramai iaitu 4,432 orang yang melibatkan bayaran RM4,986,049.88, diikuti penerima skim bantuan perubatan seramai 1,696 orang dengan jumlah RM4,039,368.85.
"Bagi skim bantuan perubatan, mereka yang memohon bantuan untuk rawatan hemodialisis sahaja berjumlah RM2,879,116.03 iaitu seramai 1,056 orang," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Sekolah Agama Mersing Kanan, di sini kelmarin.
Beliau berkata, MAIJ turut mengagihkan zakat tersebut kepada golongan yang memohon bantuan pelajaran, membina dan membaiki rumah serta pembangunan asnaf.
"Bagi pelajar Islam yang melanjutkan pengajian ke universiti luar negara di Asia Barat, seramai 113 penuntut menerima bantuan zakat dengan jumlah keseluruhan RM452,978.
"Selain itu, bagi bantuan pelajaran yang turut diberikan termasuk yuran pendaftaran di institusi pengajian tinggi (IPT) serta bantuan pakaian seragam dan yuran kepada pelajar sekolah," katanya.
Beliau berkata, MAIJ akan terus memastikan hasil kutipan zakat disalurkan kepada golongan asnaf yang layak secara telus dan adil.
Mantapkan penghayatan Islam - MB
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ia penting untuk membantu memastikan masyarakat Islam memahami dengan lebih jelas pegangan tersebut dalam soal akidah, fikah dan tasawuf.
"Kita mengharapkan mereka memahami secara lebih mendalam lagi termasuk menjiwai dasarnya daripada sumber al-Quran, as-Sunnah, al-Ijma dan Qiyas yang menjadi teras dalam syariat Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan seminar lanjutan tahsin al-Quran sempena Mesyuarat Agong Persatuan Qurra' Johor di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.
Seminar itu dianjurkan oleh persatuan berkenaan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman; Pengarah (MAINJ), Abdul Rahman Jaffar dan Pengerusi persatuan itu, Syed Ahmad Syed Abdullah Al-Idros,
Abdul Ghani memberitahu, usaha memperkukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu dilakukan dengan kerjasama jabatan agama negeri dan daerah-daerah secara berterusan bagi kesejahteraan ummah.
"Kita berasa amat tenang dan tenteram dapat mengamalkan ajaran Islam secara yang diamalkan oleh ulama silam dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, dengan tidak berlaku pergaduhan sesama sendiri dalam fahaman agama," jelasnya.
Justeru, beliau berharap masyarakat Islam seluruhnya diingatkan agar berpegang teguh dengan ajaran Allah dan jangan berpecah belah dalam bab agama bagi kesejahteraan dan kemajuan umat Islam.
Lebih-lebih lagi menurutnya, sejak kebelakangan ini terdapat kelemahan umat dalam beberapa bidang ilmu Islam dan kemahirannya seperti dalam tafsir al-Quran, hadis, tauhid, fikah dan usul fikah.
"Keadaan tersebut besar kemungkinan disebabkan kurang kesungguhan dalam mengamalkan prinsip hidup yang dianjurkan oleh al-Quran dan sunah," katanya.
Di negeri ini, Abdul Ghani berkata, terdapat kira-kira 10,000 warga pendidik ilmu Islam seperti guru-guru ta'mir, Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan imam-imam yang terlibat secara langsung dalam proses pendidikan Islam.
Katanya, jika golongan tersebut digembleng dengan teratur maka mereka boleh menjadi penggerak utama membangunkan umat secara berkesan.
Sementara itu, beliau berkata, seminar berkenaan amat penting dan selaras dengan program membudayakan al-Quran, sunah dan tafsir al-Quran yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak 10 tahun lalu.
Katanya, program berkenaan memberi peluang kepada kakitangan kerajaan dan masyarakat meningkatkan kemahiran membaca al-Quran dan memahami ajaran Islam.
"Usaha ini mendapat sambutan yang baik dan sekali gus mewujudkan majlis-majlis ilmu dan inilah sebahagian daripada pendidikan ilmu yang pernah dilaksanakan oleh para sahabat Rasulullah S.A.W dan para tabi'in yang berjaya memberi kesan dalam menghayati kitab suci al-Quran," jelasnya.
MAIJ beri RM11,000 bina rumah ibu tunggal enam anak
Bantuan segera yang akan memulakan pembinaan minggu ini bakal membawa sinar baru kepada keluarga berkenaan, sekali gus memenuhi impian seorang ibu tunggal, Noraeshah Mohd. Dali, 48, dan anak-anaknya untuk tinggal di rumah lebih selesa.
"Syukur alhamdulillah, sebagai sebuah keluarga besar, tentunya saya amat gembira dengan adanya rumah baru itu nanti, apatah lagi ia adalah sumbangan daripada MAIJ," katanya.
Rumah baru itu akan menyediakan tempat tinggal lebih selesa baginya dan enam anak yang berusia antara lima hingga 29 tahun berbanding rumah lama peninggalan suaminya yang usang.
Walaupun mempunyai tiga orang anak yang telah dewasa, namun mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sekadar mampu untuk menyara ibu dan adik-adik yang lain.
Kelmarin Noraeshah menerima kunjungan rombongan Pegawai Tadbir Agama Daerah Kota Tinggi, Mohd. Taufik Datuk Kiyai Shamsuddin bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Harun Abdullah.
Hasil kunjungan tersebut, Baitulmal, MAIJ bersetuju mengeluarkan bantuan segera bagi membina sebuah kediaman yang lebih selesa bagi keluarga tersebut.
"Keadaan rumah ibu tunggal ini begitu daif ekoran banyak bumbung telah bocor dan kayunya reput serta boleh rebah pada bila-bila masa.
"Melihatkan keadaan itu, kami tidak mahu menunggu lama dan meluluskan peruntukan segera bagi membina sebuah rumah untuk keluarga tersebut," kata Mohd. Taufik.
Kerja-kerja pembinaan rumah berkenaan akan dimulakan minggu ini dan dijangka siap dalam masa dua hingga tiga minggu.
Penyerahan zakat, sempena sambutan Maulidur Rasul UTHM
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, selain itu, penekanan kepada sifat amanah juga penting kerana tanpanya, seseorang akan menjadi perosak kepada organisasi yang disertainya.
“Bagi memenuhi pengertian amanah maka kita perlu berlumba-lumba menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh dan penuh integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul universiti itu anjuran Pusat Islam UTHM di Batu Pahat dekat sini baru-baru ini.
Majlis sambutan berkenaan diisi dengan ceramah yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Sheikh Ahmad Faisal Mohammed..
Pada majlis itu juga berlangsung penyerahan wang zakat dari anak syarikat UTHM iaitu KUTECH Sdn. Bhd. sebanyak RM30,000 kepada MAIJ serta penyerahan zakat dari pihak Takaful Etiqa kepada 150 orang mahasiswa UTHM melibatkan jumlah keseluruhan RM 70,000.
MAIJ bantu Keluarga 11 orang anak
Mohd Jeeva sekeluarga memeluk Islam pada Oktober 2009 di Pejabat Agama Daerah Johor Bahru dan bekerja sebagai storekeeper  di daerah ini dengan pendapatan RM500 sebulan untuk menampung isteri serta 11 orang anaknya yang menetap di Kampung Sungai Plentong Johor Bahru.
Penolong Pengarah Unit Ukhuwah, Puan Hajah Maimunah Othman, berkata pihaknya telah mengunjungi kediaman Mohd Jeeva untuk meninjau situasi sebenar kepayahan hidup yang dialaminya. Bantuan MAIJ disalurkan membolehkan beliau menampung perbelanjaan harian dan meneruskan sesi persekolahan anaknya.
Menurutnya, kelulusan bantuan kewangan setiap bulan dan bantuan persekolahan dari MAIJ dapat membantu meringankan beban beliau sekeluarga bagi meruskan kehidupan seharian.
“Umat Islam di negara ini perlu sedar akan kepentingan berzakat bagi membantu mereka yang memerlukan” katanya.
MAIJ bina 70 buah rumah penduduk miskin
"Kita berharap orang ramai yang memohon bantuan untuk membina rumah bersabar kerana MAIJ menerima banyak permohonan setiap bulan," katanya kepada Utusan Malaysia semasa menyampaikan sumbangan kepada golongan ibu tunggal dan melancarkan program e-kasih peringkat Kampung Baru, Air Tawar dekat sini kelmarin.
Menurutnya, golongan yang berdaftar dengan e-kasih juga akan dipertimbangkan untuk mendapat kediaman lebih selesa sekiranya membuat permohonan untuk mendapatkan rumah.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Raja Kamariah Raja Omar, 56, bersyukur atas bantuan e-kasih berjumlah RM11,000 untuk membaiki rumahnya.
Dia yang mempunyai seorang anak kurang upaya turut berterima kasih kepada Zainal Abidin yang sudi melawat rumahnya serta menyampaikan sumbangan.
Seorang lagi penerima, Halimah Putih, 56, yang telah menetap di kampung berkenaan lebih 30 tahun berharap mendapat bantuan segera setelah menerima kunjungan Zainal Abidin.
"Saya harap MAIJ sudi memberikan bantuan bulanan kerana dia hanya bergantung kepada sumbangan anak-anak selain terpaksa membelanjakan sehingga RM200 sebulan untuk membeli lampin pakai buang bapa saya yang telah uzur," katanya.
Che Hawa Abu Bakar, 61, yang menerima bantuan RM350 sebulan daripada MAIJ mengakui terpaksa bekerja menanam sayur-sayuran untuk menyara enam anaknya termasuk seorang yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi tidak lama lagi.
Dia bersyukur kerana bantuan yang diterima mampu meringankan bebanan keluarganya.
AmIslamic bayar zakat RM107,777
Pengurus AmBank Wilayah Selatan, Shaiful Bahri Mohd. Yaacob berkata, wang tersebut merupakan zakat bagi tahun kewangan 2009 dan diagih-agihkan kepada rumah-rumah amal terpilih di negeri ini.
Majlis penyerahan zakat itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman di Hotel Mutiara, di sini semalam.
Turut hadir Mufti Johor, Datuk Muhammad Tahriri Samsudin dan Pengurus Perhubungan Pendepositan AmBank Wilayah Selatan, Aidah Ishak.
Antara yang menerima agihan wang zakat itu adalah Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Kluang; Rumah Amal Anak-anak Ikhwan, Muar; Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Segamat dan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Mersing.
Shaiful Bahri berkata, daripada jumlah itu MAIJ mendapat RM19,770 dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Kluang (RM25,000).
Rumah Amal Anak-anak Ikhwan menerima RM20,000, Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Mersing (RM18,000) dan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Segamat (RM25,000).
Selain kewajipan membayar zakat perniagaan, pihaknya turut menganggap sumbangan itu sebagai salah satu tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, pada tahun lalu MAIJ telah menerima zakat harta dan perniagaan berjumlah RM109.20 juta berbanding RM100.70 juta pada tahun 2008.
"Pada keseluruhannya jika diamati kesedaran dalam kalangan umat Islam untuk membayar zakat perniagaan dan harta menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.
Aqil Putra perlu bantuan
Demikian yang dirasai oleh keluarga kanak-kanak malang, Aqil Putra Anas, 4, selepas disahkan menghidap leukimia sejak Januari tahun lalu.
Kini Aqil Putra yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik terpaksa bergantung sepenuhnya dengan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pihak hospital.
Ibunya, Nurzawira Mustafa, 33, berkata, anaknya mula menunjukkan tanda-tanda demam berpanjangan sejak berusia dua tahun dan apabila diperiksa di Hospital Sultan Ismail (HSI), doktor mengesahkan anaknya menghidap penyakit itu.
''Apabila doktor mengesahkan anak saya menghidap leukimia pada awal Januari tahun lalu, hati saya bagaikan tersentak dan hanya Allah saja yang tahu hati saya," katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Desa Jaya di sini semalam.
Menurut ibu kepada tiga anak itu, sebelum doktor mengesahkan perkara itu, anaknya telah dimasukkan ke HSI selama sebulan bagi mengesan penyakit yang dihadapinya melalui kajian sampel darah.
Aqil Putra, menurutnya, terpaksa menjalani kemoterapi dua bulan sekali di HSI sehingga 2011.
''Saya ada menerima bantuan daripada Majlis Kanser Malaysia (Makna) sebanyak RM250 sebulan sejak tahun lalu tetapi bantuan tersebut hanya setahun saja dan habis pada April ini," jelasnya.
Katanya, dengan gaji suaminya sekitar RM700 sebulan, dia terpaksa bekerja lebih masa bagi menampung bayaran hospital, sewa rumah dan juga keperluan sekolah dua anaknya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Penaksir Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Ahmad Jupri ketika menyampaikan bantuan kepada keluarga tersebut berkata, MAIJ akan membantu meringankan beban tanggungan keluarga tersebut.
''Pihak kami akan segera membantu keluarga tersebut dengan membayar tunggakan rumah sewanya serta bil hospital yang perlu dibayar," katanya.
Dalam kunjungan ke rumah keluarga tersebut MAIJ menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM300 serta hamper makanan yang disampaikan oleh Ahmad Jupri.
Titah D.Y.M.M Sultan Johor
Tahniah
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Latiff Yusof berkata, “Laman web amat penting kerana ia dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat secara dalam talian sekali gus meningkatkan kecekapan agensi kerajaan,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Pertandingan Laman Web Terbaik Kerajaan peringkat negeri 2009.
Majlis yang diadakan buat kali ketiga itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Beliau turut meminta semua agensi kerajaan memberi perhatian serius dengan meningkatkan kualiti laman web masing-masing dan menetapkan sasaran lebih tinggi pada pertandingan akan datang.
“Bagi pertandingan pada 2010, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya lima laman web agensi kerajaan mendapat lima bintang,” katanya.
Beliau berkata, kualiti laman web dinilai berdasarkan garis panduan yang ditetapkan dalam Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 iaitu Pengurusan Portal dan Laman Web Sektor Awam.
Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) muncul juara kategori Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun, manakala Majlis Bandaraya Johor Bahru menjuarai kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Kategori Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah Daearah pula dimenangi Pejabat Tanah Johor Bahru, manakala Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri menjuarai kategori Pejabat Setiausaha Kerajaan dan Kerajaan Negeri.
Masing-masing membawa pulang piala, sijil dan hadiah iringan.
Tabung masjid berjaya kumpul RM8 juta
PONTIAN 11 Feb. - Sebanyak RM8 juta berjaya dikumpul dalam Tabung Pembangunan Masjid Johor sejak dilancarkan pada 2001 hingga tahun lalu. Dana itu diperoleh hasil sumbangan masyarakat selain potongan gaji bulanan minimum RM2 kakitangan awam negeri dan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, dengan adanya tabung tersebut, ia memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat amal jariah.
Menurutnya, Tabung Pembangunan Masjid sedikit sebanyak telah dapat membantu kerajaan negeri membina masjid baru atau kerja-kerja membaik pulih dan sebagainya.
Beliau berkata, pembiayaan bagi membina masjid ketika ini turut ditampung oleh Kerajaan Pusat yang menyumbangkan 70 peratus, manakala selebihnya ditanggung kerajaan negeri.
"Di peringkat negeri, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) memberi sumbangan 15 peratus, sementara kerajaan negeri sebanyak 15 peratus," katanya pada majlis penyampaian sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Masjid Jamek Kampung Parit Marjunid, Benut, di sini malam tadi.
Sumbangan tersebut akan digunakan untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan masjid baru di kampung tersebut yang dibina secara bergotong-royong oleh penduduk.
Zainal Abidin berkata, selain menerusi potongan gaji bulanan, umat Islam juga boleh memberi derma ikhlas dengan menghubungi Pejabat Agama Daerah yang berhampiran.
Menurutnya, pada tahun ini, sebanyak RM102 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi membina 52 masjid baru termasuk yang sedang dalam proses pembinaan di seluruh negeri ini.
Katanya, kos bagi membina sebuah masjid baru ketika ini dianggarkan RM1.3 hingga RM1.5 juta, bergantung kepada lokasinya.
Selain itu, MAIJ juga akan membina 121 buah sekolah agama dalam tempoh dua tahun ini dengan kos RM264 juta.
"Selain masjid dan surau, sekolah agama juga merupakan keperluan bagi melahirkan generasi muda yang bukan saja berilmu tetapi bertakwa dan bersahsiah tinggi," katanya.
MIDF keluar zakat RM1.9 juta
Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Mohd. Najib Abdullah berkata, sebanyak RM1 juta dibayar kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), RM545,000 untuk Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan RM30,000 untuk Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).
Beliau berkata, bagi bayaran zakat RM1 juta untuk Perlis pula, ia akan digunakan oleh MAIPs untuk membina 30 rumah keluarga miskin.
"Setiap rumah di bawah program ini berharga RM30,000 dan jika perlu, RM3,000 lagi akan disumbang untuk menyediakan peralatan asas," katanya pada sidang akhbar di pejabat MAIPs di sini hari ini.
Mohd. Najib kemudian menyerahkan cek berkenaan kepada Yang Dipertua MAIPs,
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail sebelum solat fardu Jumaat.
Untuk zakat di Johor, ia akan digunakan untuk membina rumah baru untuk lapan keluarga di Muar dan sembilan di Kota Tinggi.