Projek berkonsepkan Saham Wakaf Johor

PROJEK PEMBINAAN SEKOLAH AGAMA

Wakaf sekolah agama ini diwujudkan adalah bertujuan untuk menampung keperluan sekolah agama yang kian mendesak dalam Negeri ini, yang mana sekolah agama yang sudah sedia ada tidak mampu lagi untuk menampung jumlah murid yang semakin bertambah pada setiap tahun.

Bagi memenuhi keperluan tersebut, Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor telah mengambil pendekatan untuk membangunkan 121 buah Sekolah Agama diseluruh Negeri Johor.

PROJEK WAKAF AL-QURAN

Dalam usaha untuk memastikan Al-Quran terus didampingi dan dijadikan panduan hidup seiring dengan pembangunan umat Islam. Majlis Agama Islam Negeri Johor mempelawa seluruh umat Islam untuk mewakafkan Naskah Al-Quran  menerusi Program Wakaf Al-Quran.

Al-Quran yang telah diwakafkan akan di agihkan ke Sekolah-sekolah Agama seluruh Negeri Johor, Pejabat-pejabat Kerajaan dan Swasta.

Jenis Al-Quran : Tafsir Pimpinan Al-Rahman kepada              
Pengertian Al-Quran 30 Juzuk.

PROJEK WAKAF BANGUNAN KEDAI DI NUSAJAYA

Majlis Agama Islam Negeri Johor menyeru umat Islam untuk bersama-sama menambahkan milikan hartanah wakaf umat islam di dalam memacu pembangunan masyarakat islam negeri ini.
Tujuannya adalah untuk membuka peluang kepada Umat Islam untuk menjalankan perniagaan dikawasan Wilayah Pembangunan Iskandar. Dengan misi utama untuk menggalakkan masyarakat islam menceburi bidang perniagaan.
Lokasi bangunan tersebut terletak di Fortune Point, Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Nusa Jaya.

PROJEK PEMBELIAN ASRAMA PELAJAR JOHOR DI KAHERAH MESIR

Pembelian bangunan ini adalah bertujuan untuk dijadikan asrama bagi pelajar-pelajar yang menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Bangunan ini telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 17 April 2010. Bangunan asrama pelajar Al-Azhar yang ke-2 ini merupakan bangunan setinggi 6 tingkat yang telah diubahsuai dan boleh menampung seramai 80 orang pelajar pada satu masa.

Lokasi bangunan tersebut terletak di No. 53 Mohamed Masdur Street, El-Hayyu Al-Awwal,Madinat Nasr, Kaherah, Mesir.