S-
Adakah seseorang perlu mengeluarkan
zakat wang simpanannya di bank sekiranya bank tersebut telah mengeluarkan
zakat atas perniagaannya?
J- Sekiranya bank mengeluarkan zakat ke atas perniagaanya
maka penyimpan perlu mengeluarkan zakat simpanannya sendiri. Ini
kerana bank tidak mengeluarkan zakat simpanan pendepositnya tetapi
perniagaannya sahaja. Sekiranya bank memaklumkan pengeluaran zakat
adalah atas deposit penyimpan maka pendiposit tidak perlu lagi mengeluarkan
zakatnya.
S- Adakah wang simpanan
di kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) wajib dikeluarkan zakat
oleh pemiliknya?
J- Wang yang terdapat di dalam Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja tidak wajib zakat ke atasnya sehinggalah dikeluarkan oleh
pemiliknya dan disimpan selama setahun (genap haul dan cukup nisab).
Sekiranya dalam tempoh haul telah habis digunakan maka tidak wajib
zakat.
S- Adakah hutang
itu mengugurkan kewajiban berzakat atau mengurangkan wang simpanan
daripada nisab?
J- Hutang ada 2 jenis iaitu hutang sekarang (perlu
dijelaskan kerana dituntut) dan hutang yang tertangguh.
Hutang sekarang
Hutang jenis ini boleh mengurangkan jumlah nisab dan menggugurkan
kewajiban berzakat. Contohnya Ahmad mempunyai wang simpanan sebanyak
RM5,000.00 dan pernah berhutang daripada Ali sebanyak RM2,500.00.
Ahmad tidak wajib mengeluarkan zakat simpanannya kerana setelah
ditolak hutangnya baki simpananya ialah RM2,500.00 tidak mencukupi
kadar nisab (diandaikan kadar nisab RM3,000.00)
Hutang bertangguh
Hutang bertangguh tidak menggugurkan kewajiban berzakat dalam tempoh
waktunya (setelah cukup nisab dan haul). Contohnya Mohamad mempunyai
simpanan sebanyak RM10,000.00 dan dalam masa yang sama ada membuat
pinjaman perumahan daripada bank sebanyak RM50,000.00 dengan bayaran
balik RM 400.00 sebulan
Hutang ini tidak mengurangkan jumlah simpanan yang ada. hutang tersebut
dikira hutang akan datang dan tidak kira sebagai tangunggan semasa.
Penolakan hanya boleh di buat atas bayaran bulanan bagi bulan terakhir
dalam tempoh haul.
S-
Adakah seorang pemiutang perlu mengeluarkan
zakat atas wangnya yang dipinjam oleh orang lain?
J- Wang yang dipinjam dan berada di tangan orang
lain wajib dizakatkan sekiranya telah sempurna syaratnya. Jika zakatnya
tidak dikeluarkan pada tahun tersebut maka wajib di qada' pada tahun
hadapan.
S- Adakah pemegang / pemilik
saham dalam sesebuah syarikat perlu mengeluarkan zakat sahamnya
secara persendirian?
J- Pemegang atau pemilik saham dalam sesebuah syarikat
tidak perlu mengeluarkan zakat sahamnya sekiranya syarikat tersebut
telah mengeluarkan zakat perniagaan bagi pihak pemegang sahamnya.
Sekiranya syarikat tidak mengeluarkan zakat perniagaanya maka individu
yang memiliki saham syarikat tersebut wajib membayar zakat saham
secara persendirian.
S- Bagaimanakah caranya bagi
sesebuah syarikat yang mempunyai pemegang saham yang terdiri dari
pelbagai agama untuk mengeluarkan zakat perniagaanya?
J- Pihak syarikat perlu mengasingkan saham-saham
yang dimiliki oleh orang Islam dan bukan Islam dan hanya saham yang
dimiliki oleh pemilik Islam sahaja yang dikeluarkan zakat (setelah
cukup syaratnya).
S- Adakah barang kemas (emas)
yang bercampur dengan logam lain wajib dikeluarkan zakatnya? Bagaimana?
J- Barang kemas yang bercampur (emas dan logam
lain) wajib dikeluarkan zakatnya jika sempurna syaratnya. Pemilik
ketika membeli hendaklah bertanya kepada penjual nisbah emas yang
terdapat dalam barang kemas tersebut bagi menentukan kadarnya.
S- Adakah barangan kemas yang dimiliki oleh
anak kecil diwajibkan zakat sedangkan ia dihadiahkan oleh ibunya?
Sekiranya wajib adakah ianya dizakatkan secara berasingan daripada
barang kemas ibunya?
J- Anak kecil yang mempunyai barang kemas wajib
dikeluarkan zakatnya oleh walinya jika cukup syaratnya. Zakat barang
kemasnya dikeluarkan secara berasingan dengan barang kemas milik
ibunya (nisab dan kadar keluar) kerana milik orang yang berasingan. |