HARTA TIDAK PATUH SYARIAH

Harta atau wang tidak patuh Syariah merujuk kepada semua jenis harta yang diperolehi yang bertentangan dengan Syariat Islam.

HUKUM HARTA TIDAK PATUH SYARIAH

Harta atau Wang Tidak Patuh Syariah adalah haram, tidak boleh digunakan bagi tujuan kepentingan diri sendiri atau keluarga, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Nisa’ ayat 29 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضٍۢ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya :

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu”.

Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah

Menerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 21 Muharam 1439H bersamaan 11 Oktober 2017 telah memutuskan :

” Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah terbahagi kepada dua:

i) Harta Tidak Patuh Syariah yang tidak melibatkan hak orang lain hendaklah diserahkan kepada baitulmal untuk kegunaan maslahat ummah.

ii) Harta Tidak Patuh Syariah yang melibatkan hak orang lain hendaklah diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka :

a) Harta tersebut hendaklah diserahkan kepada ahli warisnya.

b) Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik,maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal “.

Jenis Harta Tidak Patuh Syariah

  1. Riba’
  2. Rasuah
  3. Judi Atau Loteri
  4. Insurans Konvensional
  5. Hasil Rompakan Atau Curi
  6. Aktiviti Yang Tidak Selaras Dengan syariah