Home » Saham Wakaf Johor

Saham Wakaf Johor

SAHAM WAKAF JOHOR

Saham Wakaf Johor  diwujudkan adalah bertujuan untuk menggalakkan umat islam di negeri ini khususnya untuk mengamalkan ibadah berwakaf.

Ia juga merupakan satu skim yang ditawarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor dengan nilai RM 10 seunit  untuk dimiliki oleh umat islam dan mewakafkan saham tersebut kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor dengan tujuan manfaatnya diberikan kepada umat islam.

Skim ini dilancarkan berasaskan kepada penghayatan terhadap sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud:

“ Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu SEDEKAH JARIAH, ILMU YANG DIMANFAATKANNYA dan ANAK YANG SOLEH yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya.

(Hadis Riwayat Muslim )

Dengan wujudnya skim ini ianya boleh menafikan tanggapan sesetengah masyarakat islam bahawa berwakaf itu hanya boleh dilakukan oleh individu tertentu yang mempunyai harta dan kemampuan kewangan sahaja.

OBJEKTIF SAHAM WAKAF JOHOR

1. Menghidup suburkan semula amalan wakaf yang merupakan sedekah jariah yang sangat dituntut oleh Islam.

2. Menyediakan kemudahan dan alternatif kepada masyarakat umat Islam untuk menyertai ibadah wakaf walaupun tanpa melibatkan wakaf yang berbentuk aset kekal

3. Dalam usaha menggalakkan masyarakat Islam mengiktiraf wakaf sebagai sistem yang diyakini berpotensi untuk menggerakkan pembangunan sosial dan ekonomi umat Islam.

4. Menanam dan mendidik sikap, semangat dan kerjasama yang erat antara sesama umat Islam berkonsepkan ukhuwwah Islamiah dan semangat Taawun dalam Islam.

5. Memperbanyakkan lagi pegangan aset, harta umat Islam hasil daripada pengumpulan tunai dan disalurkan untuk kepentingan agama Islam dan pembangunan masyarakat Islam.

6. Melaksanakan strategi pembangunan harta-harta wakaf dan ekonomi umat Islam dengan skop yang lebih luas, dinamik dan bersepadu.

7. Meluaskan saluran kebajikan dengan sistematik dan berkesan.

8. Memberi alternatif kepada semua golongan umat Islam untuk turut menyumbang ke arah pembangunan sosio ekonomi masyarakat Islam.

9. Melahir dan menzahirkan pembangunan Institusi Wakaf dengan lebih produktif dan berwibawa.

KONSEP SAHAM WAKAF JOHOR

Mewakafkan harta adalah merupakan amal jariah yang sangat dituntut oleh agama Islam kerana amalan wakaf bukan hanya sebagai satu ibadah malahan ia merupakan satu sistem yang berpotensi untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat Islam melalui pengumpulan harta secara bersama dan berkelompok.

SWJ adalah satu skim bagi menggalakkan orang ramai ( umat Islam ) menyumbang dan membuat pelaburan sebagai sedekah jariah ( wakaf ) tanpa had maksimum untuk tujuan demi kepentingan, kebajikan dan kemaslahatan umat Islam secara menyeluruh.

Sesiapa sahaja yang beragama Islam boleh menyertai skim ini. SWJ ini memudahkan umat Islam untuk mewakafkan harta mereka dalam bentuk tunai kerana tidak semua umat Islam di negeri ini khasnya dan di Malaysia amnya, mempunyai aset atau harta kekal seperti tanah, bangunan dan sebagainya.

Dengan skim Saham wakaf yang mudah ini maka diharap semua Umat Islam di negeri ini dapat menyumbang dan membuat pelaburan untuk Akhirat mereka.

MATLAMAT SAHAM WAKAF JOHOR DITUBUHKAN

  • Melaksanakan ibadah wakaf secara berkelompok
  • Melambangkan penyatuan dan kerjasama umat Islam berteraskan Ukhuwah Islamiah
  • Melaksanakan strategi pembangunan harta-harta wakaf dan ekonomi umat Islam dengan skop yang lebih luas, dinamik dan bersepadu.
  • Meluaskan saluran kebajikan dengan sistematik dan berkesan.
  • Memberi alternatif kepada semua golongan umat Islam untuk turut menyumbang ke arah pembangunan sosio ekonomi masyarakat Islam.
  • Melahir dan menzahirkan pembangunan institusi wakaf dengan lebih produktif dan berwibawa.

Allah S.W.T amat menggalakkan hambaNya ( umat Islam ) memperbanyakkan dan berlumba-lumba dalam mengerjakan ibadah sesuai dengan firmanNya yang bermaksud:-

“ Maka berlumba-lumbalah kamu dalam mengerjakan kebajikan ”
(Surah Al-Baqarah – Ayat 148)

Justeru itu rebutlah peluang keemasan ini untuk kita bersama-sama mengumpul bekalan dan saham akhirat kita melalui Skim Wakaf Tunai yang mudah ini. Semoga wakaf tuan/puan akan mendapat ganjaran pahala yang berkekalan sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Taala disamping kita menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat Islam dan agama Islam yang Maha suci.Hendaklah Berniat Mewakilkan Wakaf Ketika Mengisi Borang Wakaf “

KEMUDAHAN PEMBELIAN SAHAM WAKAF JOHOR

  • Datang sendiri ke kaunter Majlis Agama Islam Negeri Johor di semua Pejabat MAIJ Daerah yang berdekatan.
  • Kaunter bergerak Saham Wakaf Johor
  • Wang Pos
  • Melalui Online (www.e-wakafjohor.gov.my)