Skim THKhairat dan Takaful Kasih Plus Agrobank dilancarkan di daerah Muar hari ini, dengan matlamat menyediakan perlindungan kewangan menyeluruh untuk golongan asnaf, khususnya dalam menghadapi kecederaan atau kematian yang memerlukan kos pengurusan yang tinggi. Peruntukan skim ini sebanyak RM1 juta yang bakal memberikan manfaat kepada 26,000 asnaf di negeri Johor.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Tuan Haji Hasrin Kamal Hashim, “Skim ini bertujuan memberikan ketenangan kepada golongan asnaf agar mereka tidak perlu bimbang mengenai beban kewangan yang mungkin timbul akibat musibah. Beliau berkata, “Kerjasama dengan Tabung Haji dan Agrobank, skim ini menyediakan perlindungan kematian akibat kemalangan sebanyak RM10,000 serta sumbangan khairat sebanyak RM1,000. Bagi Skim THKhairat, waris asnaf yang meninggal dunia, sama ada akibat kemalangan atau kematian semula jadi, akan menerima manfaat sebanyak RM12,000”. “Pihak kerajaan negeri menegaskan bahawa pelaksanaan skim ini adalah satu usaha untuk meningkatkan kesejahteraan golongan asnaf secara holistik, dengan menyediakan jaminan kewangan yang berterusan, bukan sekadar bantuan zakat semata-mata.
Ini adalah langkah penting untuk memastikan tiada golongan yang tertinggal dalam arus pembangunan negeri, katanya”. Pelancaran disempurnakan oleh Pegawai Daerah Muar, Tuan Haji Zainal Eran. Turut hadir dalam majlis, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Tuan Haji Hasrin Kamal Hashim, Ketua Perkongsian Runcit Takaful Malaysia, Ariff Azhan Abd Ghani, Pengarah Wilayah Selatan Tabung Haji, Haji Khairul A’zihar Rafar, serta Pengarah Wilayah (Melaka Johor) Agrobank, Md. Yasin A. Hamid. Semakan kelayakan skim ini boleh dibuat di pejabat Majlis Agama Islam Negeri Johor Daerah masing-masing sebelum 28 Februari ini.