Program Khatan Perdana Sempena Bulan Barakah Zakat MAINJ 2025

posted in: Aktiviti, Umum | 0

JOHOR BAHRU – Seramai 60 orang anak tempatan, termasuk anak-anak asnaf dari Taman Desa Jaya dan kawasan sekitarnya, telah menyertai Program Khatan Perdana Sempena Bulan Barakah Zakat MAINJ 2025 yang berlangsung di Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya, Johor Bahru, di sini hari ini.

Program ini melibatkan peserta seawal usia 8 tahun dan bertujuan meringankan beban keluarga selain menyemarakkan amalan kebajikan bersama komuniti setempat.

Selain itu, program ini turut mendapat kerjasama daripada Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Falah, kepimpinan setempat serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Jaya.

Majlis disempurnakan, Amil Baitulmal Daerah Johor Bahru, Ustaz Dr. Mohd Firdaus Abdul Hamid, yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat atas kerjasama dalam menjayakan program.

Antara pengisian menarik program ini ialah sesi mandi siraman oleh pihak bomba kepada peserta khatan sebelum acara bermula, diikuti dengan khatan beramai-ramai yang bukan sahaja membantu mengurangkan rasa gementar dalam kalangan peserta, malah menceriakan suasana keseluruhan program.

Turut hadir menjayakan program, Eksekutif Zakat MAINJ, Ustaz Mohamed Iqbal Haji Alivi, bersama kakitangan Bahagian Pungutan Zakat Ibu Pejabat MAINJ serta kakitangan MAINJ Daerah Johor Bahru.

Program ini turut dimeriahkan dengan edaran pamplet zakat, pengagihan cenderahati Barakah Zakat 2025, aktiviti gotong-royong serta pemberian belon percuma kepada kanak-kanak bagi menceriakan hari bermakna mereka.

#amazingmainj

#MainjPrihatin

#mainj100tahun

#barakahzakat2025