PROGRAM TAKLIMAT ZAKAT PERKASA KEFAHAMAN MASYARAKAT DI JOHOR

posted in: Zakat | 0

Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) terus komited memperkasa kefahaman masyarakat mengenai kepentingan zakat menerusi siri kunjungan dan sesi taklimat di beberapa sekolah serta agensi di negeri ini.

Sepanjang program yang dilaksanakan, pasukan MAINJ berpeluang berkongsi ilmu berkaitan zakat di beberapa lokasi terpilih, antaranya Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Johor, Sekolah Agama Majidi Baru, Sekolah Agama Anggerik Kempas, Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Johor Bahru serta Sekolah Kebangsaan Kampung Awat, Segamat.

Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan maklumat dan kesedaran tentang zakat kepada masyarakat, malah turut membuka ruang perkongsian dua hala yang penuh bermakna. Selain menyampaikan ilmu, pihak MAINJ turut memperoleh pelbagai pengajaran berharga, khususnya berkaitan nilai keikhlasan dan kesungguhan dalam menuntut serta menyebarkan ilmu.

Program seumpama ini diharap dapat memberi impak positif dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan zakat sebagai instrumen penting dalam pembangunan ummah.

MAINJ mengalu-alukan mana-mana sekolah atau agensi yang berminat untuk menerima kunjungan serta sesi taklimat zakat pada masa akan datang bagi memperluas lagi manfaat kepada komuniti.

β€œSetiap langkah kecil yang diusahakan, insya-Allah membawa nilai besar di sisi Allah SWT.”

#amazingmainj
#mainjprihatin