MAINJ PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA INSTITUT KANSER NEGARA

posted in: Bantuan | 0

PUTRAJAYA – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) meneruskan komitmen menyantuni rakyat Johor yang memerlukan menerusi Program Kunjungan Strategik dan Penyerahan Sumbangan MAINJ kepada Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

Kunjungan berkenaan memperkukuh kerjasama antara MAINJ dan IKN dalam memastikan bantuan dana zakat dapat disalurkan secara lebih cepat, berkesan dan bersasar kepada golongan asnaf dari Johor yang sedang mendapatkan rawatan di institut berkenaan.

Dalam kunjungan tersebut, MAINJ menyerahkan sumbangan berjumlah RM100,000 bagi membantu meringankan beban pesakit yang layak, khususnya melibatkan pelbagai keperluan sepanjang tempoh rawatan.

Penolong Pengarah Agihan Zakat MAINJ, Ustaz Muhammad Zakwan Ghazali berkata pengalaman kerjasama dengan pelbagai agensi menunjukkan bahawa penyaluran dana melalui agensi yang menguruskan penerima secara langsung mampu mempercepatkan proses penyampaian bantuan kepada asnaf, terutama rakyat Johor yang mendapatkan rawatan di luar negeri.

Menurut beliau, kerjasama dengan agensi berkaitan membolehkan bantuan disampaikan dengan lebih efektif kerana pihak agensi lebih dekat dengan penerima serta memahami keperluan sebenar mereka.

Beliau berkata, kerjasama dengan IKN juga telah memberikan impak yang baik kepada rakyat Johor yang menjalani rawatan kanser di Putrajaya.

Sementara itu, Pengarah IKN, Dr. Nur Aslina Bahakoddin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kerana pesakit kanser bukan sahaja berdepan kos rawatan, malah perlu menanggung pelbagai perbelanjaan sampingan sepanjang tempoh mendapatkan rawatan.

Antara bantuan yang disalurkan adalah bagi menampung kos perjalanan pesakit untuk hadir mendapatkan rawatan. Bantuan perjalanan sebanyak RM400 diberikan kepada pesakit yang layak bagi membantu menampung perjalanan pulang serta kos untuk hadir semula pada temu janji berikutnya.

Menurut beliau, pendekatan itu penting kerana kekangan kewangan boleh menyebabkan sesetengah pesakit terpaksa menangguhkan atau membatalkan temu janji walaupun mereka mahu meneruskan rawatan.

Beliau turut menekankan bahawa impak bantuan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah penerima semata-mata kerana rawatan kanser lazimnya memerlukan pesakit hadir secara berulang mengikut rejim rawatan masing-masing.

Ada pesakit yang perlu hadir setiap tiga minggu, manakala tempoh rawatan pula boleh mengambil masa antara enam bulan hingga setahun, malah boleh berlanjutan sehingga dua tahun bagi sesetengah pesakit. Justeru, beban sebenar yang ditanggung oleh seorang pesakit adalah besar dan berterusan.

Selain kos perjalanan, dana berkenaan turut membantu memenuhi keperluan tertentu pesakit seperti beg stoma, bekalan susu khas serta peralatan sokongan termasuk mesin oksigen, bergantung kepada keperluan dan kelayakan pesakit.

Turut hadir, Timbalan Pengarah II IKN, Dr. Nurul Amiera Asli; Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Puan Khairun Nisa Jailani; Ketua Penyelia Jururawat, Puan Nik Suraya Nik Hussin; serta Ketua Unit Hal Ehwal Islam, Encik Madya Madon.

Dalam kunjungan sama, delegasi MAINJ turut dibawa melawat Rawatan Harian Onkologi IKN bagi melihat secara lebih dekat proses rawatan serta keperluan pesakit kanser yang menjalani rawatan secara berkala.

Lawatan itu turut memberi gambaran kepada delegasi mengenai cabaran yang dihadapi pesakit, khususnya mereka yang perlu hadir berulang kali ke IKN untuk mendapatkan rawatan mengikut jadual dan rejim rawatan masing-masing.

Pengarah IKN, Dr. Nur Aslina Bahakoddin turut merakamkan penghargaan kepada MAINJ atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan dalam membantu pesakit kanser, khususnya rakyat Johor yang mendapatkan rawatan di IKN.

Beluai turut berharap jumlah peruntukan berkenaan dapat dipertingkatkan pada masa akan datang bagi memperluaskan lagi manfaat kepada golongan yang memerlukan.

#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin

https://www.facebook.com/100069372932460/posts/pfbid02UbRBhJKnRqkaNo6KUi7XeYb52jjm4kQRqaMGMPuAMqWQPDrfAxz8iq8N1fS4secEl/?mibextid=wwXIfr