MELAKA – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memberi penekanan terhadap penyediaan Bajet 2027 yang realistik, berhemah dan berasaskan kemampuan hasil sebenar bagi memastikan setiap perancangan serta program dapat dilaksanakan secara berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Tuan Haji Shafiei Ahamad, berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Mesyuarat Penyediaan Belanjawan MAINJ 2027 di sini, hari ini.
Menurut beliau, penyediaan belanjawan merupakan perkara penting dalam menggerakkan keseluruhan operasi MAINJ, termasuk pelaksanaan program, pengurusan organisasi serta penyampaian bantuan dan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Setiap hasil yang diterima MAINJ merupakan satu amanah yang perlu diuruskan dengan penuh integriti dan tanggungjawab. Dana yang diterima melalui zakat, wakaf, baitulmal serta sumber-sumber lain perlu diurus dan disalurkan sebaik-baiknya kepada mereka yang berhak,” katanya.
Beliau berkata, prestasi Belanjawan 2026 perlu dinilai terlebih dahulu bagi melihat tahap pencapaian hasil dan perbelanjaan sebelum sasaran baharu bagi tahun 2027 ditetapkan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan supaya sasaran hasil bagi tahun hadapan ditentukan berdasarkan data, prestasi semasa dan kemampuan sebenar agar perancangan perbelanjaan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun serta mengelakkan jurang besar antara hasil dan perbelanjaan.
“Sasaran hasil perlu realistik. Apabila kita mempunyai sasaran hasil yang tepat, barulah perancangan perbelanjaan dapat dibuat dengan lebih baik berdasarkan kemampuan sebenar. Kita tidak mahu sasaran yang dibuat terlalu jauh daripada realiti sehingga akhirnya memberi kesan kepada kedudukan kewangan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa setiap bahagian dan pejabat MAINJ daerah mempunyai peranan penting dalam memastikan peruntukan yang dicadangkan benar-benar berdasarkan keperluan dan mampu memberi impak kepada kumpulan sasar.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pegawai yang terlibat supaya memanfaatkan sesi perbincangan tersebut untuk memberikan pandangan, cadangan dan penilaian terbaik terhadap setiap perancangan yang dikemukakan bagi tahun 2027.
“Marilah kita sama-sama berbincang dan memberikan pandangan yang sebaik-baiknya. Mudah-mudahan Belanjawan 2027 dapat kita rancang dengan lebih baik, mencapai sasaran yang ditetapkan serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berharap penyediaan Belanjawan MAINJ 2027 bukan sahaja dapat memperkukuh pengurusan kewangan dan tadbir urus organisasi, malah memastikan setiap peruntukan yang diluluskan dapat dimanfaatkan secara optimum dalam melaksanakan amanah MAINJ serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di Negeri Johor.

