MAINJ PERKASA USAHAWAN ASNAF, 15 RAIH ANUGERAH EMAS

posted in: Asnaf | 0

JOHOR BAHRU – Seramai 15 usahawan asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) meraih Anugerah Emas selepas mencatatkan peningkatan hasil jualan melebihi 100 peratus menerusi Program Coaching Usahawan MAINJ.

Kejayaan itu diraikan dalam Majlis Apresiasi Keusahawanan MAINJ sebagai pengiktirafan terhadap prestasi dan perkembangan usahawan asnaf yang menyertai program pembangunan keusahawanan berkenaan.

Program yang berlangsung selama enam bulan itu melibatkan 25 usahawan yang menerima bimbingan dan latihan berterusan bagi meningkatkan prestasi, pengurusan serta hasil jualan perniagaan masing-masing.

Selain pencapaian jualan, MAINJ turut meraikan 10 usahawan yang berjaya memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia menerusi inisiatif Halal Kotej.

Pensijilan itu membantu meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk yang dihasilkan, selain membuka peluang kepada usahawan memperluas pasaran dan meningkatkan daya saing perniagaan.

Dalam usaha memperkukuh perniagaan usahawan asnaf, MAINJ turut menyalurkan Bantuan Dana Niaga berjumlah RM59,360 kepada tiga usahawan.

Pada masa sama, pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan belia asnaf, turut diberi perhatian menerusi program kemahiran berkonsepkan Train and Place dengan kerjasama Johor Halal Development Corporation (JHDC), Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor (KUYPJ) dan Kolej Kemahiran Johor (KKJ).

Menerusi pendekatan itu, peserta bukan sahaja menerima latihan dan kemahiran yang memenuhi keperluan industri, malah turut dibantu mendapatkan penempatan pekerjaan selepas menamatkan latihan.

Majlis disempurnakan Penasihat MAINJ, Yang Berhormat Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Tuan Haji Shafiei Ahamad serta Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor, Yang Berhormat Dato’ Haji M. Tahrir Dato’ Haji Shamsuddin dan Tuan Haji Md. Burhanuddin Haji Tibek.

Majlis Apresiasi Keusahawanan MAINJ menjadi wadah menghargai kejayaan usahawan asnaf, sekali gus memperlihatkan komitmen MAINJ dalam melahirkan penerima manfaat yang lebih berdaya saing, produktif dan berdikari melalui keusahawanan serta pembangunan kemahiran.

#MAINJprihatin

#AmazingMAINJ