JOHOR BAHRU, 16 Oktober 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerima kunjungan hormat Pengarah Urusan PIJ Holdings Sdn. Bhd., YB Dato’ Haji Ismail Haji Abu, bertempat di Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, hari ini.
Kunjungan tersebut disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Tuan Haji Shafiei Ahamad, bertujuan memperkukuh hubungan antara kedua-dua organisasi serta membincangkan peluang kerjasama dalam pembangunan aset Baitulmal.
Dalam pertemuan itu, PIJ Holdings turut mengemukakan kertas cadangan untuk penelitian dan pertimbangan lanjut pihak MAINJ berhubung potensi kerjasama yang boleh dilaksanakan.
YB Dato’ Haji Ismail turut berkesempatan mengadakan sesi ramah mesra bersama Penasihat MAINJ, YB Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot, yang disertai dengan pertukaran pandangan mengenai pelbagai perkara berkaitan kepentingan bersama.
Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal bersama Ahli Majlis MAINJ turut diadakan bagi meneliti secara terperinci cadangan pembangunan tanah Baitulmal, termasuk aspek perancangan, kesesuaian dan pelaksanaannya.



