BARAKAH ZAKAT 2026

posted in: Zakat | 0

JOHOR BAHRU, 29 Oktober – Seramai 45,798 pelajar bakal menerima manfaat menerusi bantuan makanan berjumlah lebih RM4.7 juta yang diumumkan sempena Majlis Pelancaran Barakah Zakat 2026 bertemakan “Kira. Bayar. Berkat.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor menyalurkan peruntukan sebanyak RM1,495,872 bagi menyediakan bantuan makanan selama tujuh hari kepada 30,528 pelajar bukan asnaf yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan sebanyak RM3,208,480 bagi menyediakan bantuan makanan selama 30 hari kepada 15,270 pelajar asnaf yang bakal menduduki peperiksaan SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2026.

Menurut beliau, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban keluarga serta memastikan para pelajar mendapat bekalan makanan yang mencukupi agar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa MAINJ memperuntukkan sebanyak RM463.8 juta bagi agihan zakat kepada lapan golongan asnaf sepanjang tahun 2026, termasuk RM246.3 juta khusus untuk golongan fakir dan miskin.

Beliau turut menyeru umat Islam yang bekerja, berniaga dan memperoleh rezeki di Johor supaya menunaikan kewajipan zakat di negeri ini melalui saluran rasmi yang ditetapkan bagi memastikan manfaatnya dapat disalurkan kepada golongan asnaf secara teratur dan berkesan.

Pelaksanaan Barakah Zakat 2026 turut mengetengahkan pelbagai inisiatif termasuk Jelajah Zakat, Jalinan Zakat Majikan, Zakat Payroll Challenge dan Zakat NextGen sebagai usaha memperluas kesedaran masyarakat terhadap kewajipan berzakat.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan Kalam Jamaie bertajuk “Kira, Bayar, Berkat” oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra, Kulai serta tayangan montaj “Sekeping Resit” yang mengetengahkan mesej keberkatan zakat dalam membantu golongan memerlukan.

Hadir sama, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, YB Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot; Mufti Negeri Johor, SS YB Dato’ Haji Yahya Ahmad; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, YB Dato’ Haji Mohd Radzi Haji Mohd Amin; Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Tuan Haji Shafiei Ahamad serta barisan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Berteraskan tema “Kira. Bayar. Berkat.”, penganjuran Barakah Zakat 2026 turut menyemarakkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan berzakat serta manfaatnya dalam meningkatkan kesejahteraan asnaf.