JOHOR BAHRU, 18 Nov – Seramai 30 usahawan menyertai Bengkel Intensif Halal bagi Usahawan Kotej Halal 2026 anjuran Unit Pembangunan Asnaf, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang berlangsung selama dua hari bermula 17 November lalu di Hotel Seri Malaysia, Larkin.
Pengurus Besar Johor Toyyiban Laboratories Sdn. Bhd. (JTLab), ChM. Puan Erna Hany berkata, bengkel itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman usahawan mengenai keperluan pensijilan halal, termasuk penyediaan dokumentasi, proses audit, pematuhan serta tatacara permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Beliau berkata, pendedahan yang diberikan menerusi bengkel kendalian JTLab, anak syarikat MAINJ itu diharap dapat membantu usahawan meningkatkan kesiapsiagaan mendapatkan pensijilan halal, sekali gus memperkukuh keyakinan pengguna dan daya saing produk di pasaran.




