SAHAM WAKAF JOHOR (SWJ)

Pendahuluan
Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T dalam usaha membangunkan ekonomi umat Islam secara terancang dan berkelompok, pihak pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) telah mewujudkan satu skim wakaf yang dinamakan "SAHAM WAKAF JOHOR".

Skim ini dilancarkan berasaskan penghayatan terhadap sabda Rasulullah s.a.w. dari Abu Hurairah yang bermaksud:

“Apabila mati anak Adam terputuslah
amalannya kecuali tiga perkara:
sedekah jariah (WAKAF),
ilmu yang bermanfaat atau
anak soleh yang mendoakan kepadanya”

(Riwayat Muslim)

Kebiasaannya orang yang kaya dan berkemampuan sahaja yang berpeluang mewakafkan harta mereka bagi tujuan kebajikan dan kepentingan umat Islam. Tetapi dengan adanya skim "Saham Wakaf" ini, semua golongan umat Islam sama ada yang kaya mahupun yang miskin berpeluang mewakafkan harta yang berterusan untuk mendapat keredaan disisi Allah S.W.T. berpandukan kemampuan dan keikhlasan hati masing-masing.

KONSEP SWJ

"SAHAM WAKAF" ini merupakan satu skim di mana masyarakat Islam mampu membeli saham yang ditawarkan iaitu RM 10.00 untuk seunit, seterusnya mewakafkan Sijil Saham tersebut selama-lamanya dengan tujuan untuk menjaga kepentingan dan kebajikan umat Islam.

Objektif

  • Untuk melaksanakan tuntutan Islam supaya beramal jariah (Wakaf) secara berkelompok.
  • Sebagai lambang penyatuan dan kerjasama umat Islam berteraskan konsep Ukhwah Islamiah.
  • Melaksanakan strategi pembangunan ekonomi umat Islam secara bersepadu.
  • Meluaskan saluran kebajikan secara yang lebih bersistem, berkesan dan menyeluruh.
  • Memberi alternatif kepada semua umat Islam supaya bersama-sama menyumbang ke arah menjayakan sesuatu aktiviti pembangunan sosioekonomi masyarakat yang kosnya terlalu tinggi.

Aktiviti

Hasil dari pembelian “Saham Wakaf” ini akan digunakan bagi membiayai berbagai-bagai aktiviti pembangunan sosio ekonomi umat Islam yang dirancangkan oleh MAIJ dan bertepatan dengan kehendak Syarak.

1. Sehingga kini MAIJ telah berjaya membina sebuah bangunan setinggi 6 tingkat di Batu 6 ½ Tampoi dengan kos RM 4.99 juta hasil dari kutipan Saham Wakaf daripada umat seluruh Malaysia.

2. Ladang Saham Wakaf Johor seluas 3900 ekar sedang dibangunkan dengan cara usahasama antara PPNJ dan MAIJ bagi Projek Ladang Kelapa Sawit.

3. Pembelian sebuah bangunan 6 tingkat di Kaherah, Mesir bagi tujuan Asrama pelajar-pelajar Johor yang menuntut di Universiti Al-Azhar yang akan dibiayai menerusi “Saham Wakaf Johor”

4. Keseluruhan hasil daripada projek-projek saham wakaf tersebut akan terus di manfaatkan untuk kebajikan umat Islam seperti bantuan Masjid-Masjid, Surau-surau, Sekolah-Sekolah Agama, Rumah Anak-Anak Yatim dan sebagainya.

Cara Penyertaan

1. Bagi menjadikan Wakaf sah dari segi hukum Syarak, maka setiap pembelian Saham Wakaf akan diberikan borang sighah untuk diikrarkan sebagai mewakafkan Sijil Saham Wakafnya dan kemudian ditandatangani di hadapan Kadi atau 2 orang saksi yang layak di sisi Syarak. Seterusnya mengembalikan borang tersebut kepada MAIJ untuk didaftarkan sebagai Wakaf Musytarak (berkelompok)

2. Kepada mereka yang ingin menyertai skim SAHAM WAKAF ini, bolehlah mengunjungi :

i. Majlis Agama Islam Negeri JohorAras 5, Kompleks Islam Johor, Blok B,
   Johor Bahru; atau

ii. Ke Pejabat Agama Daerah-Daerah, atau

iii.Mana-mana cawangan BANK SIMPANAN NASIONAL Bhd. Ke akaun no. 577065099
   atas nama (SAHAM WAKAF MAIJ)

3. Bank Simpanan Nasional menyediakan tiga cara perkhidmatan bagi Skim Wakaf ini,

3.1 Potongan gaji bulanan dengan mengisi borang arahan tetap GIRO; atau

3.2 Dengan cara arahan individu dimana pewakaf mempunyai akaun GIRO dan mengarahkan bank memindahkan sejumlah wang dari akaunnya ke dalam akaun Saham Wakaf; atau

3.3 Dengan cara kemasukan tanpa buku. Bagi perkhidmatan ketiga ini pewakaf hendaklah menulis nama, kad pengenalan dan alamat di kaunter Bank Simpanan Nasional, seterusnya menghantar slip bank tersebut kepada MAIJ dengan secepat mungkin bagi tindakan MAIJ selanjutnya.

3.4 Pewakaf tidak diberikan sijil, hanya akan diberikan salinan sighah yang telah disempurna untuk simpanan.Ini kerana Sijil Saham Wakaf tersebut telah diwakafkan.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib
sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaum itu sendiri
mengubah nasibnya”

Maksud Surah Ar-Ra’d ayat 11

CARTA PERLAKSANAAN SWJ

 

Muat Turun Risalah Saham Wakaf Johor - Format PDF