Alhamdulillah, MAINJ menjalinkan kerjasama strategik bersama Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dalam usaha memperluaskan capaian maklumat berkaitan perkhidmatan zakat kepada masyarakat.
Menerusi kerjasama ini, iklan dipasang pada beberapa pintu teksi terpilih di daerah Johor Bahru sebagai satu inisiatif hebahan yang bersifat langsung, mudah difahami dan mesra pengguna.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memperkenalkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh MAINJ, malah turut memperkukuh mesej dakwah dan kesedaran tanggungjawab sosial umat Islam melalui medium pengangkutan awam yang digunakan oleh masyarakat setiap hari.
Dengan paparan visual yang ringkas dan padat, pengguna perkhidmatan teksi berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat peranan dan fungsi MAINJ dalam mengurus serta mengagihkan zakat kepada golongan asnaf yang memerlukan.
Majlis ringkas ini disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, sebagai simbolik permulaan kepada hebahan zakat melalui medium pengangkutan awam di negeri ini.





