Usaha bersama membantu keluarga yang terkesan

posted in: Bantuan | 0

Dalam satu operasi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Terminal Bas Larkin, satu keluarga terdiri daripada suami, isteri dan lima orang anak kecil berusia antara 5 hingga 13 tahun telah ditemui tidur di atas kerusi ruang menunggu.

Keadaan mereka yang serba kekurangan menyentuh hati para petugas — tiada rumah, tiada tilam, hanya kerusi keras menjadi tempat berteduh, namun tetap teguh bersama sebagai sebuah keluarga.

Pihak JKM segera bertindak memberikan perlindungan sementara. Ibu dan anak-anak ditempatkan di Rumah Persona YPKDT, manakala si bapa dihantar ke Anjung Singgah. Namun, apabila si isteri tidak sanggup berpisah dengan suaminya, usaha mencari penyelesaian yang lebih sesuai segera dijalankan.

Prihatin dengan nasib keluarga ini, Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil langkah segera menyediakan tempat tinggal sementara di Rumah Transit MAINJ bagi memastikan keselesaan mereka sekeluarga. MAINJ turut menyalurkan sumbangan barangan keperluan asas dan makanan bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela.

Anak-anak pasangan ini turut menerima Bantuan Kanak-Kanak JKM sebanyak RM1,000 sebulan. Ketua keluarga pula berjanji akan segera berusaha mencari pekerjaan untuk mengubah nasib keluarga mereka.

MAINJ terus komited membantu golongan yang memerlukan, bukan sekadar memberi bantuan sementara, tetapi memulihkan semula harapan dan maruah insan yang diuji. Semoga keluarga ini terus diberi ketabahan dan kekuatan untuk membina kehidupan yang lebih baik.

#MainjPrihatin

#mainj100tahun